ISTANBUL: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk mendengar kes mencabar usaha pentadbiran Trump menamatkan perlindungan sementara bagi pendatang dari negara seperti Haiti dan Syria, yang menurut plaintif boleh memaksa mereka kembali ke keadaan tidak selamat.
Hakim pada Isnin menolak untuk segera menarik perlindungan bagi ratusan ribu orang, membolehkan mereka terus tinggal dan bekerja secara sah di AS buat masa ini, lapor Anadolu Ajansi.
Mahkamah sebelum ini memihak kepada pentadbiran Trump, membenarkan penamatan perlindungan serupa untuk kira-kira 600,000 rakyat Venezuela semasa cabaran undang-undang yang masih berjalan, mendedahkan mereka kepada kemungkinan pengusiran.
Pentadbiran Trump memfailkan rayuan kecemasan selepas mahkamah rendah menyekat penamatan segera status perlindungan sementara bagi kira-kira 350,000 rakyat Haiti dan 6,000 rakyat Syria.
Mahkamah rendah memutuskan untuk migran berkenaan dan menghentikan sementara penamatan status perlindungan mereka, mendorong kerajaan untuk memohon pembatalan perlindungan itu di Mahkamah Agung, yang pada Isnin memaklumkan akan mendengar hujah pada minggu kedua April.
Bermula Mei 2025, Mahkamah Agung telah dua kali membenarkan pentadbiran Trump menamatkan perlindungan untuk ratusan ribu rakyat Venezuela namun kes Syria dan Haiti menjadi kali pertama dalam penggal kedua Trump bahawa ia akan meneliti merit pembatalan status perlindungan sementara itu.
-- BERNAMA-ANADOLU