KUCHING: Polis mengesahkan seorang lelaki tempatan kerugian RM117,600 selepas terperdaya sindiket penipuan tawaran tender membekal kerusi dan meja bagi kegunaan kantin sekolah di Siburan.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata dalam kejadian yang berlaku semalam, mangsa berusia 47 tahun itu telah menerima pesanan WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menawarkan tender membekal kerusi dan meja untuk kantin sekolah berkenaan.
“Mangsa kemudian diberikan beberapa nombor telefon pembekal barangan berkenaan bagi memudahkan urusan tempahan dilakukan.
“Mangsa telah membuat lima transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun bank berbeza pada hari sama melibatkan jumlah keseluruhan RM117,600 bagi tujuan tempahan barangan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa menyedari dirinya ditipu selepas pergi ke sekolah itu dan dimaklumkan pihak sekolah tidak pernah membuat sebarang tempahan seperti dinyatakan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA