KUALA LUMPUR: Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) membuka kertas siasatan berhubung kandungan yang memfitnah dan menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun TikTok palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata, tindakan itu diambil susulan pengesanan kandungan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office).
“Ya, kita telah membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan lanjut menerusi USJT.
“Siasatan dilakukan mengikut Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat membangkitkan pecah keamanan.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyalahgunakan perkhidmatan atau kemudahan rangkaian," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
M Kumar menegaskan semua pihak perlu sentiasa berhati-hati dalam membuat hantaran di media sosial, khususnya berkaitan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
“JSJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan terus terpelihara,” katanya.
Pada Rabu, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor menuntut tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu bagi memfitnah serta menghina Sultan Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pejabat itu memaklumkan akaun berkenaan menggunakan nama “Sultan Ibrahim Ismail” serta didapati memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.
Antara kandungan dimuat naik termasuk video yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong gemar memakan daging babi, yang menurut kenyataan itu adalah tidak benar serta menyentuh sensitiviti memandangkan Seri Paduka Baginda merupakan Raja Melayu dan Ketua Negara beragama Islam.
Kenyataan itu turut menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai penghinaan serius dan berniat jahat terhadap institusi diraja.
“Sehubungan itu, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat,” katanya.