Skip to main content

Malaysia

Dua penunggang Ducati mengaku tidak bersalah buat aksi 'wheelie' di SPE

angkap layar tular rakaman memaparkan aksi wheelie oleh penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya SPE._SINAR HARIAN
Sebelum ini, video aksi berbahaya dua penunggang motosikal itu tular di media sosial sebelum polis menahan dua lelaki itu pada 16 Mei. - Media sosial via Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan aksi berbahaya wheelie di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE), bulan ini.

Khairul Azham Mohd Noor, 36, yang bekerja sebagai kerani dan mekanik Nashril Rosli, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan.

Mengikut pertuduhan, Khairul Azham yang menunggang Ducati Hypermotard 950 dan Nashril yang mengendalikan Ducati Panigale didakwa melakukan aksi mengangkat tayar hadapan sejauh 80 meter dalam keadaan berbahaya yang berisiko tinggi dan mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 11 pagi 9 Mei di Kilometer 6.5 Lebuhraya SPE dari pusat bandar menghala ke Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 serta tidak lebih RM15,000 selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun menawarkan jaminan RM2,000 bagi Nashril dan RM3,000 kepada Khairul Azham masing-masing dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Akmal Taufiq dan Infa Rozana yang mewakili dua lelaki itu memohon jumlah tersebut dikurangkan atas alasan mereka penanggung utama keluarga dan tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah membenarkan mereka masing-masing dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes bagi Nashril pada 8 Julai manakala 10 Julai untuk Khairul Azham.

Sebelum ini, video aksi berbahaya dua penunggang motosikal itu tular di media sosial sebelum polis menahan dua lelaki itu pada 16 Mei.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement