NEW DELHI: Rusia dan India bertekad meningkatkan bekalan hidrokarbon Rusia, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kami mempunyai hasrat bersama untuk meningkatkan bekalan hidrokarbon Rusia, baja dan kerjasama dalam bidang tenaga nuklear aman,” kata Lavrov kepada pemberita.
Lavrov berkata beliau membincangkan pembangunan kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan India semasa lawatannya ke New Delhi, sambil menambah bahawa beliau turut membincangkan penyediaan tapak bagi pembinaan blok tambahan loji tenaga nuklear oleh Rusia di India.
Mengenai kerjasama ketenteraan, Lavrov berkata kerjasama teknikal dan ketenteraan antara Rusia dan India secara tradisinya berada pada tahap tinggi dan terus berkembang secara aktif.
“Kerjasama ketenteraan dan teknikal kami secara tradisinya berada pada tahap tinggi termasuk pengeluaran bersama senjata canggih berasaskan teknologi pertahanan terkini,” kata Lavrov kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat peringkat menteri BRICS di India.
India menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri Luar BRICS (FMM) di New Delhi dari 14 hingga 15 Mei 2026 di bawah kepengerusian BRICS negara itu.
Lavrov turut menyatakan bahawa Perdana Menteri India Narendra Modi akan melawat Rusia pada 2026, dengan persiapan sedang dijalankan bagi lawatan itu.
“Perdana Menteri Narendra Modi telah mengesahkan bahawa giliran beliau untuk melawat Rusia tahun ini. Kami akan membuat persiapan bagi sidang kemuncak ini,” kata Lavrov pada sidang media.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI