KUALA LUMPUR: Malaysia disifatkan sedang meletakkan asas penting bagi reformasi besar pembiayaan kesihatan, dengan model pembayaran baharu yang dijangka mengubah cara hospital dan syarikat insurans mengenakan caj perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Sdn. Bhd., Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib, berkata negara kini berada pada satu titik perubahan kritikal, apabila sistem pembiayaan akan beralih daripada model fee‑for‑service kepada pembiayaan berasaskan nilai.
“Perubahan ini bukan sekadar penyesuaian dasar, tetapi satu penstrukturan semula asas sistem kesihatan - dengan pesakit menjadi teras utama,” katanya dalam taklimat media di Cyberjaya, pada Jumaat.
Menurut beliau, seiring itu, ProtectHealth telah membangunkan sistem data dikenali sebagai PACED, yang kini sudah beroperasi dan akan menjadi tulang belakang kepada model pembayaran baharu melibatkan syarikat insurans, operator takaful, hospital, serta pembuat dasar.
Model ini juga akan menyokong struktur Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), yang memperkenalkan pembayaran tetap berdasarkan hasil rawatan, bukan jumlah perkhidmatan.
Wan Mohd Hazwan menegaskan reformasi ini selaras memastikan sistem kesihatan negara mampu menyediakan rawatan secara adil, meningkatkan kecekapan kos, dan memastikan akauntabiliti tanpa menjejaskan kualiti, terutama kepada komuniti yang kurang mendapat akses.
Beliau berkata, menurut data pihaknya sehingga 2025, seramai 1.9 juta rakyat disaring penyakit tidak berjangkit, 2.48 juta rawatan pesakit luar diberikan kepada golongan B40, lebih 60,000 prosedur hospital dialihkan ke sektor swasta, dan masa menunggu hospital awam berkurang 23 peratus.
Katanya, reformasi ini dijangka meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan di Malaysia.