Skip to main content

Malaysia

Imigresen serbu pusat hiburan bertaraf lima bintang, 152 warga asing ditahan

Jabatan Imigresen menahan 152 warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan bertaraf lima bintang yang dipercayai menawarkan pakej pelacuran warga asing di sebuah hotel di kawasan Changkat dekat sini, awal pagi tadi. Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pusat hiburan yang beroperasi di tingkat satu hingga enam sebuah hotel bertaraf tiga bintang itu dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan hanya menerima pelanggan berstatus VVIP. -- BERNAMA
Pusat hiburan yang beroperasi di tingkat satu hingga enam sebuah hotel bertaraf tiga bintang itu, dipercayai mula beroperasi sejak tiga bulan lepas dan hanya menerima pelanggan berstatus VVIP. - Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 152 warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan bertaraf lima bintang, yang dipercayai menawarkan pakej pelacuran melibatkan warga asing di sebuah hotel di kawasan Changkat, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi itu, dijalankan susulan aduan awam dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya sebelum serbuan dilakukan kira-kira 1.30 pagi.

“Sebanyak 243 individu diperiksa, melibatkan 194 warga asing dan 49 warga tempatan. Hasil pemeriksaan mendapati 152 warga asing ditahan, terdiri daripada 129 warga China, dua warga Taiwan, lima warga Vietnam, lima warga Myanmar, lapan warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Indonesia, Turki dan Vanuatu.

“Kesemua individu berusia antara 21 hingga 32 tahun itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, selain 17 saman kepada saksi (Borang 29) turut dikeluarkan dalam operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata pusat hiburan yang beroperasi di tingkat satu hingga enam sebuah hotel bertaraf tiga bintang itu, dipercayai mula beroperasi sejak tiga bulan lepas dan hanya menerima pelanggan berstatus VVIP.

“Premis itu dikawal ketat oleh pengawal keselamatan tempatan dan akses keluar masuk hanya diberikan kepada pelanggan tertentu, dengan harga bilik bermula RM50,000 hingga mencecah RM100,000 bagi bilik eksklusif yang boleh dilanggan melebihi 24 jam,” katanya.

Zakaria berkata ketika serbuan dijalankan, beberapa warga asing berada dalam keadaan khayal dan leka dengan muzik yang kuat, sehingga tidak menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

Beliau berkata kesemua warga asing terbabit ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, sebelum ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Operasi itu melibatkan 131 pegawai dan anggota Imigresen dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas di negara ini. Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Bernama yang turut mengikuti operasi itu mendapati, premis berkenaan mempunyai beberapa bilik yang dipercayai kebanyakannya dilanggan warga asing dari China, selain menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.

-- BERNAMA

Must Watch Video