ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Khamis, lebih banyak serangan akan menyusul selepas jambatan tertinggi di Iran diserang, sambil menggesa Tehran mencapai satu persetujuan sebelum “terlambat”.
“Jambatan terbesar di Iran runtuh dan tidak akan digunakan lagi. Lebih banyak akan menyusul!” kata Trump di platform media sosialnya, Truth Social.
“Iran perlu membuat perjanjian sebelum terlambat dan sebelum tiada apa lagi yang tinggal daripada apa yang berpotensi menjadi sebuah negara hebat,”katanya.
Menurut Anadolu Ajansi, Trump berulang kali menggesa Iran untuk berunding dan terbaharu mendakwa kepimpinan baharu Tehran meminta gencatan senjata, dakwaan yang dinafikan oleh pegawai Iran.
Secara berasingan, dalam temu bual dengan majalah Time, Trump mengulangi dakwaannya yang Iran berminat mencapai perjanjian, dengan merujuk kepada tahap kemusnahan sebagai faktor utama.
“Kenapa pula mereka tidak menghubungi? Kami baru sahaja memusnahkan tiga jambatan utama mereka malam tadi,” katanya sambil berkata Iran sedang “dihancurkan”.
Beliau turut menolak kenyataan pegawai Iran yang rundingan tidak berlaku, dengan menyifatkannya sebagai “rundingan yang agak mudah”.
Serangan Amerika Syarikat-Israel menyasarkan sebuah jambatan penting di lebuh raya utama di utara Iran pada Khamis, menurut laporan media tempatan.
Menurut Agensi Berita Fars, beberapa lokasi di kawasan Azimieh berhampiran Bandar Karaj diserang, termasuk Jambatan B1 yang digambarkan sebagai jambatan tertinggi di Asia Barat. Media itu melaporkan beberapa kecederaan dan jambatan itu turut rosak.
Laporan juga menunjukkan yang tentera Amerika Syarikat mungkin melancarkan serangan yang dikenali sebagai “double tap”, iaitu lokasi yang sama diserang dua kali berturut-turut.
Menurut laporan media, serangan kedua berlaku kira-kira sejam selepas serangan pertama, ketika petugas kecemasan sudah berada di lokasi untuk membantu mangsa, walaupun mereka diklasifikasikan sebagai orang awam yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa.
Serangan ini merupakan peningkatan terbaru dalam kempen yang bermula pada 28 Februari, apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara bersama ke atas Iran, dengan lebih 1,340 orang maut , termasuk pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel, Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan tentera Amerika Syarikat, menyebabkan kematian serta kerosakan infrastruktur, selain mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU