Skip to main content

Dunia

AS kurangkan 5,000 anggota tentera di Jerman susulan pertelingkahan Trump-Merz

Military vehicles drive during the U.S. Army Combined Resolve exercise at the U.S. Army's southern Germany training facilities in Hohenfels, Germany, April 30, 2026. REUTERS/Angelika Warmuth
Pengunduran itu dijangka selesai dalam tempoh enam hingga 12 bulan. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengurangkan kira-kira 5,000 anggota tenteranya yang ditempatkan di Jerman, susulan pertelingkahan terbuka antara Presiden AS, Donald Trump, dan Canselor Jerman, Friedrich Merz, berkaitan perang dengan Iran.

Keputusan itu dibuat sehari selepas Trump mengkritik Merz, yang sebelum ini menyatakan AS telah “dihina” oleh Iran dalam rundingan berkaitan konflik tersebut.

Dalam hantaran di media sosial pada Khamis, Trump menyifatkan Merz sebagai “melakukan tugas yang sangat teruk” dan mendakwa pemimpin Jerman itu berdepan pelbagai masalah domestik termasuk isu imigresen dan tenaga.

Trump turut membangkitkan kemungkinan menarik balik tentera AS dari negara sekutu NATO lain seperti Itali dan Sepanyol.

AS ketika ini mempunyai lebih 36,000 anggota tentera aktif ditempatkan di Jerman, menjadikannya kehadiran ketenteraan terbesar AS di Eropah.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Pentagon, Sean Parnell, berkata arahan pengunduran itu dikeluarkan oleh Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth.

“Keputusan ini dibuat selepas semakan menyeluruh terhadap penempatan ketenteraan AS di Eropah dan mengambil kira keperluan operasi serta situasi semasa di lapangan,” katanya, sambil menambah pengunduran itu dijangka selesai dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Trump, yang sejak sekian lama mengkritik pakatan NATO, turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap negara sekutu yang enggan terlibat dalam operasi untuk membuka semula Selat Hormuz.

Ditanya sama ada beliau akan menarik keluar tentera AS dari Itali dan Sepanyol, Trump menjawab:

“Saya mungkin akan buat. Kenapa tidak?”

Merz sebelum ini memberitahu pelajar universiti bahawa AS “jelas tidak mempunyai strategi” dalam menangani Iran, sambil menggambarkan rundingan yang berlaku sebagai satu penghinaan kepada “keseluruhan negara”.

Sebagai tindak balas, Trump menerusi platform Truth Social mendakwa Merz menyokong Iran memiliki senjata nuklear dan “tidak tahu apa yang sedang dibicarakannya”, sambil mengkritik prestasi ekonomi Jerman.

Pengurangan tentera ini menandakan langkah terbaharu dalam usaha pentadbiran Trump untuk menilai semula komitmen ketenteraan AS di Eropah, di tengah kebimbangan beberapa negara di rantau itu terhadap keselamatan serantau, khususnya berkaitan ancaman Rusia.
 

Must Watch Video