Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Yaman ikrar pertahan Iran, paksi penentangan

A giant Iranian flag lies on the ground at the site of a rally of Houthi supporters in solidarity with Iran, as the U.S.-Israeli conflict with Iran continues, in Sanaa, Yemen, March 27, 2026. REUTERS/Khaled Abdullah
Sebuah bendera Iran bersaiz gergasi terhampar di lokasi perhimpunan penyokong Houthi sebagai tanda solidariti terhadap Iran, ketika konflik AS–Israel dengan Iran berterusan, di Sanaa, Yaman. - Foto REUTERS

TEHRAN: Seorang jurucakap Angkatan Tentera Yaman berkata  Pergerakan Penentangan Ansarullah Yaman akan memasuki medan perang secara langsung jika gabungan baharu menyertai Amerika Syarikat dan rejim Zionis menentang Iran dan Paksi Penentangan, lapor Agensi Mehr News Agency (MNA).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Jumaat, jurucakap Angkatan Tentera Yaman Yahya Saree menegaskan yang mereka akan mengambil tindakan ketenteraan secara langsung jika gabungan baharu menyertai Amerika Syarikat dan Israel dalam menentang Iran, menggunakan perairan serantau untuk operasi permusuhan atau terus meningkatkan ketegangan di rantau itu.

“Kami mengesahkan yang tangan kami berada di picu untuk campur tangan ketenteraan secara langsung,” tegas Saree.

Jurucakap itu turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada pihak yang dianggap sebagai penceroboh.

Beliau menggesa mereka agar memberi respons terhadap usaha diplomatik yang bertujuan menamatkan pencerobohan, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai serangan “tidak adil, menindas dan tidak berasas” yang menjejaskan kestabilan serta keselamatan global dan serantau, selain memberi kesan kepada ekonomi dunia.

Kenyataan itu turut menuntut pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara rejim Israel dan pergerakan penentangan Hamas di Semenanjung Gaza.

Kenyataan itu juga memberi amaran terhadap sebarang langkah untuk meningkatkan tekanan ke atas Yaman sendiri melalui peningkatan sekatan terhadap negara di Semenanjung Arab itu.

--BERNAMA-MNA

 

 

Must Watch Video