Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: WHO beri amaran risiko kesihatan jangka panjang susulan serangan loji nuklear Bushehr

81761131275_TedrosAdhanom.jpg
Tedros (foto) beri amaran bahawa sebarang serangan ke atas kemudahan nuklear berpotensi mencetuskan kemalangan nuklear yang membawa kesan kesihatan jangka panjang serta ancaman terhadap generasi akan datang. -Gambar fail

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan fasiliti nuklear di Iran susulan laporan serangan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel berhampiran Loji Kuasa Nuklear Bushehr.

Menerusi hantaran di platform X, Tedros memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas kemudahan nuklear berpotensi mencetuskan kemalangan nuklear yang membawa kesan kesihatan jangka panjang serta ancaman terhadap generasi akan datang.

 

 

“Dengan setiap hari konflik ini semakin memuncak, pertaruhan serta ancaman menjadi kian tinggi.

"Kita mesti mengurangkan ketegangan sekarang. Keamanan adalah ubat terbaik,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melaporkan bahawa satu projektil telah jatuh berhampiran loji berkenaan, mengakibatkan seorang kakitangan maut selepas dihempap serpihan runtuhan.

Loji Bushehr merupakan satu-satunya loji kuasa nuklear yang beroperasi di Iran dan terletak di bandar Bushehr yang dihuni kira-kira 250,000 penduduk, selain menjadi antara kawasan industri dan ketenteraan penting negara itu.

Tedros turut menyokong amaran dikeluarkan IAEA dan menggesa semua pihak supaya segera menghentikan serangan bagi mengelakkan bencana radiasi yang tidak diingini.

Setakat ini, pihak berkuasa Iran dilaporkan sedang memantau tahap radiasi di sekitar loji bagi memastikan tiada kebocoran berlaku akibat letupan berdekatan.

Bagaimanapun, Washington dan Tel Aviv masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan serangan yang menyasarkan kawasan berhampiran zon nuklear berkenaan.

Must Watch Video