Skip to main content

Malaysia

JWP percepat proses warta baki 30 peratus kawasan lapang, kolam takungan banjir - Hannah

Hannah Yeoh
Komitmen itu dizahirkan susulan taklimat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diketuai Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Abdul Halim Aman. - Foto FB Hannah Yeoh

PUTRAJAYA: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan mempercepat proses pewartaan baki 30 peratus kawasan lapang dan kolam takungan banjir yang telah diluluskan, bagi memastikan kawasan berkenaan terus dipelihara demi kesejahteraan warga ibu kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata komitmen itu dizahirkan susulan taklimat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diketuai Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Abdul Halim Aman berhubung hasil siasatan terhadap proses pemberimilikan kolam takungan banjir kepada pemaju bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur, yang dimulakan sejak 2021.

"Hasil siasatan SPRM mendapati tiada sebarang unsur rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa dalam proses pemberimilikan serta perintah pembangunan yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju.

"SPRM telah menjalankan siasatan terhadap semua proses pemberimilikan dan perintah pembangunan melalui semakan dokumen serta rakaman keterangan saksi termasuk daripada pemaju yang terlibat, dengan juruukur yang dilantik mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPRM juga mengingatkan agar semua kelulusan pembangunan pada masa hadapan mengambil kira risiko dan fungsi kolam takungan banjir serta melalui proses penilaian lebih ketat.

Katanya, SPRM turut mengambil maklum tindakan pengurusan tertinggi JWP menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir, selain memuji tindakan DBKL menghentikan serta-merta semua kelulusan kebenaran merancang dan pembangunan baharu di kawasan terbabit.

Hannah berkata sesi konsultasi bersama SPRM itu merupakan julung kali diadakan oleh JWP dan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh tadbir urus yang baik demi kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement