Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump ancam hapuskan Pulau Kharg Iran jika rundingan gagal

In this satellite photo from Planet Labs PBC, Iran's Kharg Island is seen on Feb 26, 2026. (Photo: AP/Planet Labs PBC)
Presiden Trump beri amaran bahawa Washington bersedia memusnahkan pusat eksport minyak negara itu, termasuk Pulau Kharg, sekiranya Tehran tidak mencapai persetujuan bagi menamatkan konflik dalam masa terdekat. - Gambar AP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan ancaman terbaharu terhadap Iran dengan memberi amaran bahawa Washington bersedia memusnahkan pusat eksport minyak negara itu, termasuk Pulau Kharg, sekiranya Tehran tidak mencapai persetujuan bagi menamatkan konflik dalam masa terdekat.

Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump menegaskan, Amerika Syarikat kini berada dalam “perbincangan serius” dengan kepimpinan baharu Iran, yang disifatkan lebih terbuka untuk berunding.

Bagaimanapun, Trump memberi amaran bahawa semua infrastruktur tenaga Iran – termasuk loji jana kuasa, telaga minyak dan kemudahan penyahgaraman – bakal menjadi sasaran jika Selat Hormuz tidak segera dibuka untuk pelayaran komersial.
Rundingan dijangka selesai dalam 10 hari

Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, Presiden Trump mahu proses rundingan diselesaikan dalam tempoh 10 hari, selari dengan garis masa operasi ketenteraan empat hingga enam minggu yang diumumkan sebelum ini.

Menurutnya, Amerika Syarikat komited menamatkan operasi ketenteraan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Ketika ditanya sama ada ancaman terhadap infrastruktur awam Iran boleh dianggap sebagai melanggar undang‑undang peperangan, Leavitt menegaskan, tentera AS sentiasa mematuhi undang‑undang antarabangsa, namun menambah bahawa Amerika mempunyai “keupayaan ketenteraan yang luar biasa” dan presiden tidak teragak‑agak untuk menggunakannya.

Trump dakwa berlaku ‘pertukaran rejim’

Dalam sidang media di Air Force One sebelum ini, Trump mendakwa, konflik yang bermula sebulan lalu bersama Israel telah membawa kepada ‘pertukaran rejim’ di Iran selepas beberapa pemimpin tertinggi negara itu terbunuh.

Beliau menyifatkan barisan kepimpinan baharu Tehran sebagai lebih rasional dan yakin peluang mencapai persetujuan semakin meningkat.

Sementara itu, Leavitt memaklumkan, Trump turut mempertimbangkan untuk meminta negara‑negara Teluk seperti Arab Saudi, Kuwait dan UAE menyumbang kepada kos operasi ketenteraan tersebut, namun, belum memberikan perincian lanjut. - Agensi

 

Must Watch Video