TEHRAN: Laluan strategik Selat Hormuz dilaporkan menyaksikan pergerakan kapal yang minimum pada Jumaat, walaupun gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih berkuat kuasa.
Data penjejakan kapal oleh MarineTraffic menunjukkan trafik di laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia itu masih terhad, mencerminkan gangguan berterusan terhadap aliran tenaga global.
Situasi itu turut menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan gencatan senjata dua minggu antara Washington dan Tehran, yang kini dilihat semakin rapuh menjelang rundingan dijadual berlangsung di Pakistan.
Amerika Syarikat menuduh Iran gagal mematuhi komitmen berkaitan laluan tersebut, manakala Israel pula dilaporkan melancarkan serangan ke atas Lubnan, tindakan yang menurut Tehran melanggar perjanjian gencatan senjata.
Setakat ini, tiada tanda-tanda Iran akan menarik balik sekatan hampir menyeluruh terhadap Selat Hormuz dengan Tehran menyatakan serangan berterusan Israel di Lubnan sebagai faktor utama yang menghalang kelonggaran laluan itu.
Presiden AS, Donald Trump, dalam hantaran di media sosial menyifatkan Iran gagal memastikan aliran minyak berjalan lancar.
“Ini bukan perjanjian yang kita capai,” katanya, sambil mengkritik tindakan Iran yang didakwa tidak membenarkan pergerakan minyak seperti dipersetujui.
Gangguan tersebut dilihat sebagai antara yang paling serius pernah direkodkan terhadap bekalan tenaga global, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan pasaran minyak dunia.