Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Tehran sedia hadapi perang berpanjangan, Israel luaskan serangan

Volunteers clean debris from a residential building damaged when a nearby police station was hit Friday in a U.S.-Israeli strike in Tehran, Iran, Sunday, March 15, 2026. (AP Photo/Vahid Salemi)
Sukarelawan membersihkan runtuhan dari sebuah bangunan kediaman yang rosak selepas balai polis berhampiran terkena serangan AS-Israel pada Jumaat di Tehran, Iran. - Foto AP

TEHRAN: Ketegangan Asia Barat terus memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel meningkatkan siri serangan ke atas Iran, dengan peluru berpandu dilaporkan mengenai beberapa lokasi strategik di wilayah Isfahan, tengah Iran.

Sumber keselamatan Iran memaklumkan bahawa puluhan mangsa terkorban dalam serangan terbaharu itu.

Dalam kenyataan keras yang disiarkan media tempatan, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan bahawa Tehran tidak pernah memohon genjatan senjata dengan AS dan kini bersedia untuk menghadapi perang yang berpanjangan.

“Iran tidak pernah meminta rundingan untuk menghentikan pertempuran. Kami bersedia untuk perang panjang jika Washington memilih jalan ini,” kata Araghchi.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu ke arah Israel, sambil mendakwa turut menyerang pangkalan tentera AS di Iraq dan Kuwait.

Kerajaan Kuwait dalam kenyataannya mengesahkan bahawa sistem radar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait telah rosak, dipercayai akibat kesan letupan berhampiran.

Walaupun Israel belum mengeluarkan angka rasmi mengenai kerosakan, media tempatan melaporkan sistem pertahanan udara negara itu bekerja “tanpa henti” sepanjang malam.

Di Washington, Presiden AS, Donald Trump, mendakwa bahawa pihak Iran telah menghubunginya bagi memulakan rundingan baharu, namun syarat yang dikemukakan “belum memadai”.

“Mereka sudah menghubungi kami… tetapi tawaran mereka masih tidak cukup baik,” kata Trump kepada wartawan di White House.

Setakat ini, Tehran menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu, serangan Israel di sempadan utara terus menyebabkan kemusnahan besar di Lubnan.

Angka korban meningkat kepada 850 orang, menurut pegawai kesihatan negara itu.

Selain itu, lebih 831,000 penduduk dilaporkan kehilangan tempat tinggal, menjadikan krisis kemanusiaan semakin meruncing.

Agensi bantuan antarabangsa memberi amaran bahawa kemudahan kesihatan di Lubnan kini berada “di ambang kejatuhan” akibat jumlah mangsa yang semakin meningkat.

Pemerhati politik menyifatkan keadaan semasa sebagai "krisis serantau paling serius dalam sedekad", dengan risiko konflik meluas semakin meningkat.

Ketiga-tiga pihak, AS, Israel dan Iran, masih menunjukkan kesediaan meneruskan tindakan ketenteraan, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa pertelingkahan ini mungkin berpanjangan.

 

Must Watch Video