Skip to main content

Dunia

Iran pulih akses internet antarabangsa selepas sekatan hampir tiga bulan

Internet Iran
Langkah berkenaan sekali gus menamatkan sekatan akses internet selama 87 hari, yang menurut kumpulan pemantau NetBlocks merupakan antara gangguan rangkaian paling lama direkodkan di negara itu. -Gambar fail/NetBlocks

TEHRAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengarahkan pemulihan akses internet antarabangsa di seluruh negara selepas sekatan hampir tiga bulan susulan ketegangan geopolitik.

Menurut laporan media tempatan yang memetik ketua perhubungan awam Kementerian Komunikasi Iran, langkah itu bertujuan mengembalikan capaian internet global kepada keadaan seperti sebelum Januari 2026.

Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sattar Hashemi berkata proses teknikal bagi penyambungan semula rangkaian telah bermula.

Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA) melaporkan pelaksanaan arahan itu akan dilakukan secara berperingkat bermula hari ini.

Langkah berkenaan sekali gus menamatkan sekatan akses internet selama 87 hari, yang menurut kumpulan pemantau NetBlocks merupakan antara gangguan rangkaian paling lama direkodkan di negara itu.

Sepanjang tempoh sekatan, majoriti penduduk hanya dapat mengakses laman dan platform domestik, manakala sebahagian pengguna bergantung kepada rangkaian maya peribadi (VPN).

Sebagai latar belakang, pihak berkuasa Tehran mula menyekat internet antarabangsa pada 8 Januari lalu susulan demonstrasi antikerajaan berskala besar.

Walaupun capaian sempat dipulihkan secara terhad pada Februari, akses penuh kembali ditutup pada 28 Februari selepas serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Jurucakap kerajaan Iran Fatemeh Mohajerani berkata akses internet diiktiraf sebagai sebahagian daripada hak sivil, dan sekatan yang dikenakan sebelum ini bersifat sementara atas faktor keselamatan.

 

Must Watch Video

Advertisement