Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Serangan udara Israel ragut 18 nyawa di selatan Lubnan

Plumes of smoke billow from southern Lebanon following Israeli strikes, as seen from Marjayoun, Lebanon May 24, 2026. REUTERS/Stringer
Lebih 3,100 orang terbunuh dan lebih 9,500 cedera, manakala 1.6 juta lagi hilang tempat tinggal akibat pengeboman Israel di Lubnan sejak 2 Mac susulan konflik berterusan antara Israel dan Hezbollah. - Gambar Reuters

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media kerajaan.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, 11 orang terbunuh dan sembilan cedera dalam serangan udara Israel ke atas bandar Seir al-Gharbiyeh di wilayah Nabatieh.

Agensi berita negara Lubnan, NNA melaporkan, sebuah jet pejuang menyerang bandar Bazouriyeh di daerah Tyre, mengorbankan seorang mangsa dan mencederakan dua lagi.

Serangan dron Israel turut membunuh seorang lelaki di bandar Arabsalim di daerah Nabatieh, menurut agensi itu.

Sebuah rumah turut terkena serangan Israel di bandar Toura, Tyre, menyebabkan seorang wanita terbunuh dan dua lagi cedera.

NNA kemudian melaporkan serangan tambahan di wilayah Nabatieh, termasuk serangan di Abba dan Jebchit, manakala serangan dron Israel di Doueir mengorbankan seorang petani berusia 50 tahun.

Seorang anggota paramedik Pertubuhan Kesihatan Islam terbunuh selepas pasukan pertahanan awam diserang Israel ketika memeriksa lokasi serangan terdahulu di Arabsalim, lapor NNA.

Di tengah-tengah serangan itu, tentera Israel mengarahkan penduduk enam kampung di selatan Lubnan supaya segera berpindah sebelum serangan dilancarkan.

Jurucakap tentera Israel Avichay Adraee berkata di X bahawa penduduk di Kfarsir, Seir al-Gharbiyeh, Zrariyeh, Ansar, Mazraat Kawthariyet El Riz dan Kharayeb perlu bergerak sekurang-kurangnya 1,000 meter ke kawasan terbuka.

Serangan itu berlaku meskipun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) sepatutnya kekal berkuat kuasa sehingga awal Julai.

Lebih 3,100 orang terbunuh dan lebih 9,500 cedera, manakala 1.6 juta lagi hilang tempat tinggal akibat pengeboman Israel di Lubnan sejak 2 Mac susulan konflik berterusan antara Israel dan Hezbollah, menurut pegawai Lubnan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement