Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Rizab Persekutuan ‘tunggu dan lihat’ kesan perang terhadap inflasi - Powell

Federal Reserve Chair Jerome Powell addresses students at Harvard University, Monday, March 30, 2026, in Cambridge, Mass. (AP Photo/Charles Krupa)
Powell mengakui wujud dilema antara dua mandat utama Fed - mengawal inflasi dan mengekalkan guna tenaga penuh. - Gambar AP

CAMBRIDGE, MASSACHUSETTS: Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Federal Reserve), Jerome Powell, menyatakan bahawa Bank Pusat itu masih mempunyai ruang untuk “menunggu dan melihat” bagaimana perang Iran memberi kesan kepada ekonomi dan inflasi, sebelum membuat sebarang keputusan dasar monetari baharu.

Powell berkata, peningkatan harga minyak dunia akibat konflik tersebut dianggap sebagai kejutan luar yang biasanya dinilai secara berhati‑hati oleh pembuat dasar.

“Kami merasakan dasar sedia ada berada di kedudukan yang sesuai untuk membolehkan kami melihat bagaimana keadaan berkembang,” katanya dalam sesi soal jawab di Universiti Harvard.

Pasaran lega, jangkaan kenaikan kadar lenyap

Kenyataan Powell dilihat meredakan kebimbangan pasaran kewangan selepas jangkaan bahawa Fed mungkin menaikkan kadar faedah bagi membendung tekanan inflasi ekoran kenaikan harga minyak dan petrol di AS.

Harga petrol purata di Amerika kini mencecah sekitar AS$4 segelen, meningkatkan tekanan inflasi ke atas pengguna.

Powell mengakui wujud dilema antara dua mandat utama Fed - mengawal inflasi dan mengekalkan guna tenaga penuh.

“Terdapat risiko kepada pasaran buruh yang mencadangkan kadar faedah perlu kekal rendah, tetapi pada masa yang sama ada risiko peningkatan inflasi yang mencadangkan kadar tidak boleh diturunkan,” jelasnya.

Menurut Powell, inflasi kekal melebihi sasaran 2 peratus hampir lima tahun, dipacu oleh gangguan rantaian bekalan semasa pemulihan pascapandemik, tekanan harga akibat tarif dan kejutan baharu daripada kenaikan harga tenaga

Bagaimanapun, beliau menegaskan, jangkaan inflasi bagi jangka masa sederhana “masih kukuh dan tidak menunjukkan tanda-tanda kegusaran pasaran.”

Fed sebelum ini mengekalkan kadar faedah penanda aras pada 3.50 peratus hingga 3.75 peratus selepas mesyuarat dasar pada awal bulan.

Powell menegaskan, Fed tidak perlu tergesa-gesa bertindak, sambil menunggu maklumat lebih jelas mengenai sejauh mana perang Iran mempengaruhi harga minyak,
impak tarif terhadap harga barangan dan perubahan jangkaan inflasi pengguna dan pasaran.

Beliau menyifatkan kejutan tenaga yang berlaku sebagai sesuatu yang masih “terlalu awal untuk diukur” skala sebenarnya.

Fed perlu kekal fokus dan bebas politik

Dalam sesi soal jawab bersama pelajar, Powell turut menegaskan, Fed tidak boleh menggunakan kuasa monetari untuk tujuan selain mandatnya.

“Kami bukan cuba bertindak menentang mana-mana ahli politik atau pentadbiran. Tugas kami ialah memfokuskan kepada mandat — kestabilan harga dan guna tenaga maksimum.”

Beliau mengulas demikian selepas ditanya mengenai Kevin Warsh, calon pilihan Presiden Donald Trump untuk menggantikannya apabila tempoh beliau berakhir pada Mei. - Agensi

Must Watch Video