Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Pasukan AS ‘bersedia sepenuhnya’ - Hegseth

U.S. Secretary of Defense Pete Hegseth holds a briefing with Chairman of the Joint Chiefs of Staff General Dan Caine, amid the U.S.-Israeli war on Iran, at the Pentagon in Washington, D.C., U.S., March 19, 2026. REUTERS/Evan Vucci
Hegseth menambah bahawa sekatan AS terhadap pelabuhan Iran yang sedang berkuat kuasa hanyalah contoh pendekatan “berhemah” Washington. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, memberi amaran bahawa pasukan tentera AS berada dalam keadaan “bersedia sepenuhnya”, walaupun Presiden Donald Trump menyatakan optimis bahawa perjanjian dengan Iran hampir dicapai.

Bercakap dalam satu sidang media di Pentagon, Hegseth berkata tentera AS sedang “memperkuat keupayaan dengan kuasa yang lebih besar berbanding sebelum ini, serta risikan yang lebih baik”.

“Kami bersedia sepenuhnya dan telah menyasarkan infrastruktur dwi-guna penting anda, baki penjanaan elektrik serta industri tenaga. Kami lebih suka tidak perlu melakukannya,” katanya, dalam satu kenyataan yang dilihat sebagai ancaman langsung terhadap Iran.

Hegseth menambah bahawa sekatan AS terhadap pelabuhan Iran yang sedang berkuat kuasa hanyalah contoh pendekatan “berhemah” Washington sepanjang tempoh gencatan senjata, sambil memberi amaran bahawa AS mampu melancarkan serangan terhadap loji janakuasa dan sektor tenaga Iran sekiranya diarahkan.

Kenyataan keras itu dibuat tidak lama selepas beberapa pegawai pentadbiran Trump, termasuk presiden sendiri, menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian diplomatik dengan Iran untuk menamatkan permusuhan di Asia Barat semakin hampir dimuktamadkan.

Trump sebelum ini berkata rundingan dengan Tehran menunjukkan perkembangan positif, sekali gus mencetuskan harapan akan pengurangan ketegangan serantau, walaupun amaran ketenteraan daripada Washington menggambarkan pendekatan tekanan maksimum masih diteruskan.

Perkembangan terbaharu itu menonjolkan percanggahan antara usaha diplomatik dan ancaman ketenteraan, ketika AS cuba mengekalkan kelebihan strategik dalam rundingan dengan Iran.

 

Must Watch Video