Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Israel tutup sekolah, larang perhimpunan besar

Sumber: Israel Foreign Ministry
Serangan peluru berpandu Iran pada Sabtu menyebabkan sistem pertahanan udara Israel gagal memintas beberapa peluru yang jatuh ke kawasan kediaman. - Foto X/Israel Foreign Ministry

TEL AVIV: Israel telah menutup sekolah dan melarang perhimpunan melebihi 50 orang di kawasan selatan negara itu susulan serangan peluru berpandu Iran yang menggegarkan bandar Dimona pada Sabtu, lapor penyiar Kan.

Langkah keselamatan baharu ini diumumkan oleh Home Front Command setelah penilaian situasi menunjukkan risiko serangan lanjut kekal tinggi.

Menurut Kan, langkah tersebut meliputi kawasan Negev, Lachish dan Laut Mati, dengan peraturan yang menetapkan bahawa sebarang perhimpunan besar hanya boleh diadakan sekiranya peserta dapat mencapai kawasan perlindungan dalam masa singkat sekiranya siren amaran peluru berpandu berbunyi.

Home Front Command berkata sekatan ini akan berkuat kuasa hingga Selasa, manakala sekolah diarahkan tutup sehingga keadaan keselamatan dinilai semula.

Sebelum itu, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan bahawa tiada sesi persekolahan di seluruh negara pada hari Isnin, satu langkah berjaga-jaga tambahan selepas serangan Iran mengenai Dimona dan Arad, yang mencederakan lebih 100 orang.

Serangan peluru berpandu Iran pada Sabtu menyebabkan sistem pertahanan udara Israel gagal memintas beberapa peluru yang jatuh ke kawasan kediaman.

Di Arad, 88 orang cedera, manakala 39 lagi dari Dimona dirujuk ke hospital.

Pihak berkuasa kesihatan juga mengalihkan sebahagian pesakit untuk mengurangkan beban di pusat perubatan utama.

Langkah terbaharu ini mencerminkan kebimbangan kerajaan Israel terhadap potensi eskalasi baharu dalam konflik yang kini memasuki minggu keempat, dengan serangan timbal balik antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) terus berlaku di rantau itu.

 

Must Watch Video