Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Israel beri amaran sasar ambulans di Lubnan, dakwa disalah guna

ISRAELI DEFENSE FORCES SPOKESPERSON, AVICHAY ADRAEE,
Avichay Adraee (foto) berkata pihaknya mengesan aktiviti penggunaan ambulans untuk mengangkut anggota serta kelengkapan ketenteraan oleh kumpulan tersebut. -Gambar fail/Reuters

BEIRUT: Tentera Israel mengeluarkan amaran menyasarkan kenderaan perubatan di Lubnan selepas mendakwa kononnya kumpulan pejuang Hezbollah menyalahgunakan kemudahan berkenaan bagi tujuan ketenteraan.

Jurucakap tentera Israel, Kolonel Avichay Adraee berkata pihaknya mengesan aktiviti penggunaan ambulans untuk mengangkut anggota serta kelengkapan ketenteraan oleh kumpulan tersebut.

“Penggunaan kemudahan perubatan dan ambulans untuk tujuan ketenteraan mesti dihentikan serta-merta.

"Sekiranya perkara ini berterusan, Israel akan bertindak mengikut undang-undang antarabangsa terhadap mana-mana aktiviti ketenteraan yang menggunakan kemudahan dan ambulans berkenaan,” katanya menerusi satu hantaran di platform X.

 

 

Bagaimanapun, tentera Israel dilaporkan tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh setakat ini bagi menyokong dakwaan mengenai salah guna kenderaan kecemasan berkenaan.

Amaran tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan petugas barisan hadapan di Lubnan yang sedang berdepan gelombang serangan udara berterusan di Asia Barat.

Kementerian Kesihatan Lubnan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai alasan untuk menghalalkan serangan ke atas petugas kemanusiaan.

Menurut kementerian berkenaan, sekurang-kurangnya 57 petugas perubatan dilaporkan terkorban, manakala lebih 23 unit ambulans musnah akibat serangan sejak konflik bermula Mac lalu.

Pihak berkuasa Lubnan menyifatkan amaran terbaharu itu sebagai satu ancaman serius yang berpotensi melumpuhkan sistem penyampaian bantuan kecemasan kepada orang awam di kawasan konflik.

Setakat ini, situasi di selatan Lubnan kekal tegang dengan serangan udara dilaporkan terus menyasarkan pelbagai lokasi strategik, termasuk infrastruktur awam di ibu negara, Beirut.

Must Watch Video