Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran seru komuniti global bertindak selamatkan Tapak Warisan Dunia UNESCO

71737454445_HabibrezaArzani.jpg
Habibreza Arzani berkata, serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel menjejaskan beberapa kawasan seperti Istana Golestan di Tehran dan Pavilion Chehel Sotoun di Isfahan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Sejarah ketamadunan manusia di Asia Barat kini berdepan ancaman serius susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang dilaporkan menjejaskan Tapak Warisan Dunia UNESCO di Iran.

Kaunselor Kebudayaan Republik Islam Iran di Malaysia (ICCM), Habibreza Arzani berkata, serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel menjejaskan beberapa kawasan seperti Istana Golestan di Tehran dan Pavilion Chehel Sotoun di Isfahan. 

“Serangan terbaharu ini menonjolkan satu trend membimbangkan dalam peperangan moden, di mana tapak budaya semakin menjadi mangsa kerosakan sampingan.

“Ini bukan insiden terpencil... corak serupa telah diperhatikan dalam konflik di seluruh dunia, di mana kekayaan sejarah manusia terancam oleh keganasan dan kemusnahan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Arzani berpendapat Konvensyen Hague 1954 mengenai Perlindungan Harta Budaya dalam Konflik Bersenjata harus dipatuhi walau dalam apa jua keadaan.

Beliau turut menyeru komuniti antarabangsa termasuk Malaysia bersatu dan mengecam tindakan AS-Israel serta memperjuangkan perlindungan tapak warisan budaya.

“Pihak terlibat perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka dan dunia tidak boleh berdiam diri ketika warisan sejarah ini dimusnahkan,” katanya.

Pada masa sama, Arzani menegaskan peranan warisan bersejarah adalah jambatan yang menghubungkan manusia merentasi sempadan dan perbezaan serta memupuk kefahaman, rasa hormat, dan diplomasi antara negara. 

Kemusnahan tapak-tapak ini bukan sahaja menghapuskan sejarah, malah melemahkan potensi keamanan dan perdamaian, ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru agar usaha untuk memperjuangkan undang-undang dan kerangka antarabangsa yang lebih kukuh untuk melindungi warisan budaya di zon konflik dipergiat pada masa hadapan.

“Tapak-tapak ini bukan sekadar struktur binaan, ia merupakan lambang sejarah, budaya, dan identiti Iran yang kaya,” katanya lagi.

Must Watch Video