Skip to main content

Malaysia

Kesuburan wanita: Buat saringan jika tidak hamil dalam tempoh enam bulan perkahwinan - Doktor

Sumber: Astro AWANI
Terdapat beberapa rawatan yang ditawarkan kepada pesakit seperti pemantauan waktu subur dan hubungan intim, rawatan IUI serta IVF sebagai ikhtiar untuk mendapatkan zuriat, ujar Dr Nurainie.

KUALA LUMPUR: Dalam sehari, seramai 10 pesakit ginekologi mendapatkan rawatan, termasuk lima daripadanya yang hadir ke klinik bagi mendapatkan rawatan kesuburan, ujar Dr Nurainie Sayutti.

Selaku pengamal perubatan di Klinik Ayra, beliau turut menyuarakan kebimbangan apabila terdapat pasangan seawal usia 20-an mendapatkan rawatan, sedangkan masalah tersebut lazimnya dialami individu pada awal usia 40-an.

“Sekiranya umur seseorang mencecah 35 tahun dan telah berkahwin lebih enam bulan serta tidak mempunyai hubungan jarak jauh digalakkan untuk membuat saringan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Astro AWANI yang disiarkan semalam sempena sambutan Hari Ibu pada 10 Mei.

Dr Nurainie turut menasihati para wanita agar tidak menangguhkan rawatan kerana kos saringan di sesetengah klinik mencecah RM500, dengan tempoh sah keputusan hanya selama setahun.

Menyentuh punca masalah kesuburan, Dr Nurainie berkata selain faktor biologi, amalan gaya hidup tidak sihat seperti pemakanan tidak seimbang dan masalah obesiti turut menjadi penyumbang.

Keadaan ini juga boleh membawa kepada masalah ketidakseimbangan hormon serta meningkatkan risiko sindrom ovari polisistik (PCOS), yang menjejaskan proses ovulasi.

“Ada pesakit saya turunkan berat badannya dan kemudian hamil tanpa sempat menjalani rawatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpendapat literasi mengenai kitaran haid dan ovulasi dalam kalangan wanita adalah sangat penting.

Jelasnya, kitaran hormon wanita biasanya berlangsung sekitar 28 hari dengan waktu subur berada pada pertengahan kitaran iaitu sekitar hari ke-13 hingga ke-15, apabila telur dilepaskan dan sedia untuk disenyawakan.

“Sekiranya kitaran haid tidak stabil, seperti terlalu panjang atau tidak mengetahui waktu subur, bagaimana perancangan kehamilan boleh dilakukan,” katanya.

Image
Sumber: Astro AWANI
Dr Nurainie turut menegaskan agar para pesakit tidak bertindak tanpa pemantauan pengamal perbuatan dengan hanya merujuk kepada saranan media sosial dan kecerdasan buatan (AI) semata-mata. Gambar Astro AWANI.

Memetik kenyataan klinikayra.com , penyakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi, selain rawatan kemoterapi dan radioterapi serta peningkatan usia, turut memberi kesan kepada sistem kesuburan wanita.

Dr Nurainie berkata terdapat beberapa rawatan yang ditawarkan kepada pesakit seperti pemantauan waktu subur dan hubungan intim, rawatan Inseminasi Intrauterin (IUI) serta Persenyawaan Dalam Vitro (IVF).

“Kadar keberhasilan untuk hamil bagi kaedah IUI adalah sebanyak 10 hingga 20 peratus manakala IVF pula sebanyak 40 hingga 50 peratus,” katanya lagi.

Namun beliau turut menegaskan agar para pesakit tidak bertindak tanpa pemantauan pengamal perbuatan dengan hanya merujuk kepada saranan media sosial dan kecerdasan buatan (AI) semata-mata.

Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa satu daripada enam pasangan di Malaysia masih berdepan masalah kesuburan.

Namun begitu, peratusan punca masalah tersebut daripada wanita adalah 30 peratus, lelaki 30 peratus manakala 10 peratus punca yang tidak dapat dikenal pasti.

 

Must Watch Video