Skip to main content

Dunia

Pemenang Nobel Keamanan Iran diberikan ikat jamin, dipindahkan ke hospital

Sumber: REUTERS
Narges Mohammadi, dipindahkan dari penjara ke sebuah hospital di Tehran susulan kebimbangan terhadap tahap kesihatannya yang semakin merosot. - Gambar fail Reuters

TEHRAN: Aktivis hak asasi manusia Iran, Narges Mohammadi, dipindahkan dari penjara ke sebuah hospital di Tehran susulan kebimbangan terhadap tahap kesihatannya yang semakin merosot.

Menurut kenyataan Yayasan Narges Mohammadi yang dikendalikan keluarganya, pihak berkuasa Iran pada Ahad telah meluluskan penggantungan hukuman sementara dengan jaminan tinggi, sekali gus membolehkan beliau menerima rawatan perubatan.

Perkembangan itu hadir selepas keluarga dan penyokong Narges minggu lalu memberi amaran bahawa pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2023 itu berdepan risiko maut di penjara, susulan dua serangan jantung yang disyaki dialaminya awal tahun ini.

Narges, 54, menerima anugerah Nobel atas perjuangannya menentang penindasan terhadap wanita di Iran serta komitmennya dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

Yayasan berkenaan memaklumkan Narges kini dirawat di Hospital Tehran Pars, di bawah pengawasan pasukan perubatannya sendiri, selepas rayuan berterusan daripada keluarga agar beliau dipindahkan dari penjara.

Sebelum ini, beliau menjalani hukuman di Penjara Zanjan, utara Iran, dan sempat dimasukkan ke hospital selama 10 hari.

Suaminya yang menetap di Paris berkata, keadaan kesihatan Narges tidak berada pada tahap yang memuaskan dan masih tidak stabil, menurut kenyataan yang dikeluarkan hujung minggu lalu.

Menurut peguamnya, Chirinne Ardakani, Narges dipercayai telah kehilangan kira-kira 20 kilogram sepanjang tempoh pemenjaraannya, mengalami kesukaran bertutur dan keadaannya kini hampir tidak dapat dikenali.

Pada 2021, Narges mula menjalani hukuman penjara 13 tahun atas pertuduhan menjalankan “aktiviti propaganda terhadap negara” dan “bersekongkol menentang keselamatan negara”, pertuduhan yang disangkalnya.

Pada Disember 2024, beliau diberikan pembebasan sementara atas faktor kesihatan dari Penjara Evin, yang terkenal dengan rekod layanan keras terhadap tahanan.

Narges sekali lagi ditahan pada Disember lalu selepas didakwa membuat “kenyataan provokatif” ketika menghadiri satu majlis peringatan. 

Keluarganya mendakwa beliau dibawa ke hospital selepas dipukul semasa penahanan.

Pada awal Februari, sebuah Mahkamah Revolusi menjatuhkan hukuman tambahan tujuh setengah tahun penjara ke atas Narges selepas beliau disabitkan dengan kesalahan “berhimpun dan bersekongkol” serta “aktiviti propaganda”, menurut peguamnya.

Bulan lalu, adiknya, Hamidreza Mohammadi memaklumkan, kakaknya ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan banduan selepas mengalami serangan jantung yang disyaki.

Yayasan Narges Mohammadi menegaskan bahawa penggantungan hukuman sementara tidak mencukupi, sambil menekankan aktivis itu memerlukan rawatan perubatan khusus secara berterusan.

“Kita mesti memastikan beliau tidak kembali ke penjara bagi menjalani baki 18 tahun hukuman,” menurut kenyataan yayasan itu.

Yayasan berkenaan turut menyeru agar Narges diberikan kebebasan tanpa syarat dan semua pertuduhan digugurkan, sambil menegaskan tiada aktivis hak asasi manusia atau hak wanita wajar dipenjara kerana perjuangan damai mereka. - Agensi

Must Watch Video