Skip to main content

Malaysia

Pondok kayu jadi tempat sabung ayam, judi

Sumber: IPD Klang Selatan
Pondok kayu yang dipercayai menjadi tempat perjudian sabung ayam dan daun terup. - Foto IPD Klang Selatan

KLANG: Sebuah pondok kayu di Kampung Delek Kiri di sini yang dijadikan tempat perjudian daun terup dan sabung ayam diserbu polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, serbuan kira-kira jam 1 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hasil risikan dan maklumat.

Menurutnya, enam lelaki berusia lingkungan 31 hingga 50 tahun termasuk tiga warga asing berjaya ditahan.

"Pemeriksaan di lokasi menemui satu gelanggang kecil sabung ayam selain empat ekor ayam yang dipercayai digunakan bagi tujuan pertaruhan dan aktiviti perjudian.

"Semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(1) dan Seksyen 32(2) Akta Kebajikan Haiwan 2015 selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua tangkapan direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Jelasnya, polis memandang serius aktiviti perjudian haram dan penganiayaan terhadap haiwan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menyalahi undang-undang negara.

"Polis tidak akan berkompromi dan mohon orang ramai menyalurkan maklumat sebarang kegiatan perjudian haram kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video