Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran beri amaran pengayaan uranium 90 peratus jika terus diserang

SINAR HARIAN/Agensi
Ebrahim Rezaei (foto) berkata langkah drastik itu antara pilihan tindak balas yang sedang dipertimbangkan pihak berkuasa Tehran. -Gambar fail/Sinar Harian

TEHRAN: Iran memberi amaran akan meningkatkan tahap pengayaan uranium sehingga 90 peratus, iaitu paras gred senjata, jika wilayahnya sekali lagi diserang Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Jurucakap Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Ebrahim Rezaei, berkata langkah drastik itu antara pilihan tindak balas yang sedang dipertimbangkan pihak berkuasa Tehran.

“Salah satu pilihan Iran sekiranya berlakunya serangan lagi ialah pengayaan sehingga 90 peratus. Perkara ini akan disemak di parlimen,” katanya dalam hantaran di platform media sosial X, hari ini.

 

 

Amaran itu dikeluarkan ketika ketegangan memuncak selepas Presiden AS, Donald Trump, menyifatkan cadangan damai terbaharu Iran sebagai “sampah” dan memaklumkan gencatan senjata sedia ada berada dalam keadaan kritikal.

Pengayaan uranium pada paras 90 peratus dianggap ambang utama untuk penghasilan senjata nuklear, berbanding sekitar 60 peratus yang dilapor sedang dijalankan di beberapa kemudahan nuklear Iran yang masih beroperasi.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebelum ini melaporkan Iran memiliki stok uranium diperkaya yang mencukupi untuk diproses menjadi bahan gred senjata dalam tempoh singkat sekiranya keputusan politik dibuat.

Konflik yang bermula sejak akhir Februari lalu menyaksikan beberapa siri serangan udara oleh AS dan Israel ke atas infrastruktur ketenteraan dan nuklear Iran, termasuk di kompleks Isfahan dan Natanz.

Susulan amaran terbaharu itu, harga minyak mentah Brent dilaporkan melonjak melepasi AS$106 setong, didorong kebimbangan pasaran terhadap kemungkinan peperangan berskala besar yang boleh menjejaskan laluan perdagangan utama di Asia Barat.\\

Must Watch Video