ARAU: Kefahaman sejarah yang mendalam amat penting dalam menyatukan kepelbagaian kaum serta mengelakkan pengulangan kesilapan lampau dalam masyarakat majmuk Malaysia, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, sejarah merupakan teras jati diri dan kompas masa depan sesebuah bangsa yang perlu dihayati dengan penuh tanggungjawab demi membina negara bangsa yang harmoni serta progresif.
“Inti pati konvensyen ini, ‘Bersama Membina Negara Bangsa’, menuntut kita melihat sejarah bukan sekadar warisan, tetapi sebagai instrumen pembinaan masa hadapan.
“Negara bangsa tidak terbina dalam sehari, sebaliknya melalui usaha berterusan melibatkan pendidikan, kefahaman bersama dan kesediaan menghormati perbezaan,” titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), hari ini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Menurut baginda, ketamadunan merupakan asas pembinaan negara yang kukuh, manakala kelangsungan sesebuah tamadun bergantung kepada keutuhan negara bangsa yang berdaulat.
“Jika tamadun itu rohnya, maka negara bangsa adalah jasadnya. Kedua-duanya harus bersatu demi menjamin kegemilangan dan kelangsungan masa depan watan,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menegaskan generasi muda kini memiliki peluang besar untuk menjadi lebih celik maklumat serta berfikiran kritis dalam era digital.
Justeru, baginda menyeru para pendidik dan sarjana agar terus proaktif memperbaharui kaedah pengajaran supaya lebih menarik, tepat dan relevan, sekali gus mampu memperkukuh kefahaman sejarah dalam kalangan generasi baharu.
Baginda turut mengulangi harapan agar penubuhan Jabatan Arkib Negara dan Arkib Negeri Perlis serta Galeri atau Muzium Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Negeri Perlis dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
Titah baginda, langkah itu penting bagi memperkukuh pemuliharaan khazanah sejarah, warisan dan identiti negeri Perlis agar terus terpelihara sebagai rujukan generasi akan datang.
Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan konvensyen dua hari bermula hari ini menjadi platform penting menghimpunkan pengkaji dan pengamal sejarah untuk berkongsi penemuan, pandangan serta wacana ilmiah dalam memperkayakan naratif sejarah negara.
Sebanyak empat sesi pembentangan melibatkan 14 pembentang akan berlangsung dengan fokus kepada sejarah institusi beraja, kesinambungan dan perubahan, gerakan nasionalisme, pentadbiran serta perundangan, selain pembangunan dan kesejahteraan masyarakat MADANI.