Skip to main content

Malaysia

FINAS perlu wujudkan bahagian animasi perkasa industri tempatan - Fahmi

PUTRAJAYA, 12 Mei -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Mei yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Dewan Serbaguna Kementerian Komunikasi hari ini.  —fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi menyampaikan ucapan pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Mei yang dianjurkan oleh FINAS di Dewan Serbaguna Kementerian Komunikasi hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi melihat keperluan mewujudkan satu bahagian animasi di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi memperkukuh pembangunan industri animasi tempatan yang mempunyai potensi besar menyumbang kepada ekonomi kreatif negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu penting memandangkan industri animasi tempatan pernah menjadi pilihan studio antarabangsa yang mendapatkan khidmat animator Malaysia untuk menghasilkan kandungan.

“Sumbangan kepada ekonomi dari sektor animasi tidak boleh dinafikan... antara eksport yang paling terkenal dan laris di Indonesia dari Malaysia ialah Upin & Ipin

"Maka, apa yang perlu kita lakukan ialah pastikan bukan hanya Upin & Ipin tetapi lebih banyak hasil harta intelek anak-anak tempatan dapat dibawa keluar," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian berkenaan di sini hari ini.

Fahmi berkata dalam pertemuan beliau dengan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) bulan lepas, persatuan itu memaklumkan bahawa kira-kira 5,000 ahlinya kini berdepan situasi mencabar susulan kekurangan peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata penubuhan bahagian animasi di FINAS perlu dilaksanakan segera bagi meneliti dan menyelesaikan isu berbangkit, selain membangunkan sektor berkenaan secara menyeluruh.

Fahmi berkata beliau juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ashwad Ismail untuk meneliti usaha meningkatkan semula jumlah judul animasi supaya peluang pekerjaan bagi sektor itu terus berkembang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata proses pengambilalihan dan pemindahan ibu pejabat baharu perbadanan itu di Menara FINAS Damansara sedang diperhalusi bersama-sama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bagi memastikan semua keperluan projek dapat diselesaikan sebelum perpindahan dilakukan.

Fahmi berkata beberapa perkara masih perlu dilengkapkan termasuk spesifikasi teknikal dan proses pentadbiran tertentu yang dijangka mengambil sedikit masa.

“Dengan penelitian yang khusus oleh Kementerian Komunikasi khususnya Bahagian Pembangunan, kita akan berusaha untuk segerakan kerana ini projek yang telah memakan masa lebih 12 tahun untuk dilaksana,” katanya sambil menambah projek itu tergendala susulan pandemik COVID-19 serta perubahan spesifikasi dan teknologi semasa.

Mengulas mengenai fasiliti di bangunan baharu itu, beliau berkata ia merangkumi dua komponen utama iaitu menara pejabat untuk kakitangan dan studio penerbitan.

Fahmi juga berkata struktur fizikal menara pejabat itu hampir siap sepenuhnya namun studio masih belum lengkap susulan perubahan terhadap beberapa spesifikasi peralatan, dan pihaknya berharap perpindahan ke lokasi baharu dapat direalisasikan hujung tahun ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video