Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Indonesia kecam serangan Israel di selatan Lubnan

81727972287_lubnanterkini.jpg
Indonesia menganggap serangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 (2006) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). - Gambar fail

JAKARTA: Indonesia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel di selatan Lubnan sambil menggesa agar permusuhan dihentikan segera serta menyeru semua pihak menahan diri bagi mengelakkan ketegangan yang lebih luas di rantau itu.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Indonesia turut menggesa semua pihak menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan serta kembali kepada dialog dan diplomasi sebagai satu-satunya jalan untuk meredakan ketegangan dan mencapai keamanan berkekalan.

Ia menambah bahawa serangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 (2006) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

“Indonesia turut melahirkan kebimbangan mendalam terhadap ketegangan yang semakin memuncak di Lubnan, khususnya di Beirut dan di sepanjang Garisan Biru di selatan Lubnan, serta serangan terhadap pos Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang mengakibatkan beberapa anggota pengaman cedera,” menurut kenyataan itu.

Indonesia menekankan tanggungjawab semua pihak di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan keselamatan dan perlindungan kakitangan serta harta benda PBB.

Menurut Kementerian Luar, kerajaan Indonesia terus memantau rapat perkembangan semasa serta kesannya terhadap Kontinjen Garuda Indonesia yang berkhidmat di bawah UNIFIL dan memastikan keselamatan anggota pengaman menjadi keutamaan dalam situasi semasa.

“Kerajaan Indonesia merakamkan penghargaan terhadap integriti, profesionalisme dan dedikasi Kontinjen Garuda bersama UNIFIL dalam melaksanakan mandat mereka untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan di selatan Lubnan serta berharap mereka akan kekal selamat dalam menjalankan tugas,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video