Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Dua loji minyak Kuwait diserang dron

Kuwait's Mina Abdullah Refinery
Kejadian terbaharu itu dilaporkan berlaku di loji penapisan Mina Abdullah yang terletak di bahagian selatan negara tersebut, hanya beberapa jam selepas serangan serupa melanda loji penapisan Mina al-Ahmadi. -Foto Reuters

MINA ABDULLAH: Perbadanan Petroleum Kuwait (KPC) mengesahkan sebuah lagi loji penapisan minyak di negara itu menjadi sasaran serangan dron hari ini, sekali gus mencetuskan kebakaran besar di fasiliti strategik berkenaan.

Kejadian terbaharu itu dilaporkan berlaku di loji penapisan Mina Abdullah yang terletak di bahagian selatan negara tersebut, hanya beberapa jam selepas serangan serupa melanda loji penapisan Mina al-Ahmadi.

Menurut agensi berita Kuwait (KUNA), dron berkenaan dilaporkan merempuh salah satu unit operasi di loji tersebut, namun pihak syarikat menegaskan bahawa segala langkah pencegahan telah diambil bagi menjamin keselamatan kakitangan dan kawasan persekitaran.

“Semua langkah berjaga-jaga yang perlu telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan para pekerja dan mengawal keselamatan fasiliti tersebut sepenuhnya,” menurut kenyataan rasmi syarikat itu.

Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua insiden, dan pasukan bomba bertindak pantas mengawal kebakaran di unit operasi terbabit.

Serangan berturut-turut ke atas infrastruktur minyak Kuwait ini berlaku ketika ketegangan di Asia Barat semakin memuncak susulan konflik membabitkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran sejak 28 Feb lalu.

Kuwait sebelum ini menyertai 11 negara lain dalam mendesak Tehran menghentikan segera siri serangan menggunakan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan infrastruktur awam serta fasiliti tenaga di negara jiran.

Pemerhati industri berpendapat serangan ke atas dua loji penapisan utama Kuwait dalam tempoh singkat boleh meningkatkan tekanan terhadap pasaran tenaga global yang sudah sedia terjejas akibat gangguan di Selat Hormuz.

Pihak berkuasa keselamatan Kuwait kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam usaha melindungi aset ekonomi negara daripada ancaman dron yang semakin kerap menyasarkan negara-negara Teluk.

Must Watch Video