KUALA LUMPUR: Usaha memperkasa agenda Bumiputera perlu bergerak seiring dengan perubahan landskap ekonomi dan teknologi semasa, khususnya dalam melahirkan bakat yang bukan sahaja berkemahiran, malah mampu menjadi pencipta nilai dan pemimpin masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata peranan strategik institusi itu kini semakin kritikal dalam merapatkan jurang antara pembangunan bakat dan penyediaan latihan strategik selaras keperluan ekonomi negara.
Menurut beliau, sebelum ini Yayasan Peneraju lebih memberi fokus kepada laluan pendidikan konvensional seperti pengajian ijazah dan pascasiswazah, namun pendekatan itu mula berubah sekitar 2023 hingga 2024 menerusi pelan transformasi ekonomi yang menekankan konsep penciptaan nilai.
Katanya, perubahan itu penting bagi memastikan agenda pembangunan Bumiputera tidak hanya tertumpu kepada melahirkan tenaga kerja, tetapi juga individu yang mampu menerajui industri serta mencipta peluang ekonomi baharu.
“Yayasan Peneraju seharusnya bukan sahaja menyediakan bakat, tetapi menyediakan pemimpin,” katanya dalam program PuTERA35.
Dalam pada itu, transformasi agenda Bumiputera turut dilihat memerlukan penguasaan teknologi dan inovasi pendidikan bagi memastikan generasi muda mampu bersaing dalam ekonomi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Pandai Education, Khairul Anwar Mohamad Zaki berkata aplikasi pendidikan yang dibangunkan syarikat itu membantu pelajar mendapatkan akses pembelajaran lebih efektif di luar bilik darjah.
Menurut beliau, aplikasi tersebut bukan sekadar menyediakan bahan pembelajaran, malah menawarkan pengalaman pembelajaran yang diperibadikan mengikut kemampuan dan keperluan setiap pelajar.
Katanya, pendekatan itu membolehkan pelajar mengulang kaji dengan lebih mudah, berinteraksi bersama rakan serta meningkatkan prestasi akademik secara lebih berkesan.
Beliau berkata penggunaan teknologi pendidikan juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Bumiputera untuk meningkatkan pencapaian akademik dan seterusnya memperkukuh daya saing mereka pada masa hadapan.