ISTANBUL: Iraq tidak akan membenarkan wilayahnya dijadikan laluan atau landas pelancaran bagi serangan terhadap negara lain, lapor Anadolu Ajansi yang memetik jurucakap tentera.
Bercakap kepada Agensi Berita Iraq (INA), Sabah al-Numan, jurucakap kepada panglima tertinggi angkatan tentera, berkata dasar Baghdad adalah berdasarkan usaha mengelakkan konflik serantau dan antarabangsa demi mengekalkan kestabilan domestik.
Beliau berkata usaha mengehadkan pemilikan senjata di bawah kawalan negara kekal sebagai tonggak utama strategi keselamatan kerajaan dan langkah perlu ke arah menamatkan aktiviti bersenjata di luar kerangka undang-undang.
Al-Numan turut menegaskan bahawa Iraq tidak akan membenarkan negara lain campur tangan dalam hal ehwal dalamannya, sambil menambah bahawa negara itu berusaha melindungi diri daripada kesan keselamatan dan politik akibat krisis serantau.
Perdana Menteri Ali Al-Zaidi pada Khamis berikrar untuk meletakkan semua senjata di bawah kawalan negara sebagai sebahagian daripada program reformasi yang lebih meluas selepas mendapat kepercayaan Parlimen.
-- BERNAMA-ANADOLU