KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan 100 ekor lembu bagi pelaksanaan Ibadah Korban Sunat peribadi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Seri Paduka Baginda turut berkenan melafazkan niat korban di Istana Negara, yang dipimpin oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.
Bagi menyempurnakan ibadah tersebut, Sultan Ibrahim turut mewakilkan pelaksanaan korban kepada urusetia pelaksana korban Istana Negara.
Seri Paduka Baginda menitahkan supaya daging korban diagihkan kepada kakitangan Istana Negara, golongan asnaf, serta komuniti B40.
Langkah itu mencerminkan keprihatinan Baginda dalam memastikan manfaat ibadah korban dapat dinikmati oleh golongan yang memerlukan.
Dalam majlis tersebut, Munir turut memanjatkan doa agar ibadah berkenaan diterima Allah serta kesejahteraan berterusan untuk Seri Paduka Baginda dan Keluarga Diraja Johor.
“Semoga ibadah ini diterima Allah dan Seri Paduka Baginda serta seluruh Keluarga Diraja Johor sentiasa dirahmati dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat,” katanya.