SEOUL: Sebuah kenderaan dipandu seorang warga emas merempuh tingkap sebuah pusat sukan sebelum terjunam ke kolam renang bawah tanah di wilayah Gyeongsang Selatan, Korea Selatan, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 pagi di Pusat Sukan Hanam, bandar Miryang.
Kenderaan dipandu wanita berusia lingkungan 70-an itu terbalik sejurus terjatuh ke dalam air, namun tindakan pantas pengunjung berjaya menyelamatkan mangsa daripada lemas.
“Beberapa lelaki yang sedang berenang menarik pemandu keluar daripada kenderaan yang tenggelam, manakala seorang jurulatih segera melakukan bantuan pernafasan (CPR),” kata saksi kepada agensi berita Yonhap.
Siasatan awal polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pemandu terbabit baru selesai berenang sebelum menaiki kenderaannya untuk pulang.
Bagaimanapun, dia dipercayai hilang kawalan ketika mengundurkan kenderaan, melanggar sebuah kereta lain sebelum merempuh cermin bangunan itu.
Pemandu wanita tersebut, yang mengalami sakit dada, dihantar ke hospital bersama seorang pengunjung wanita berusia 50-an yang mengalami luka akibat serpihan kaca.
Pihak berkuasa mengesahkan seramai lapan individu berada di dalam kolam ketika kejadian, namun kemalangan jiwa lebih besar berjaya dielakkan kerana kenderaan itu terjatuh jauh dari kedudukan mereka.
Pemandu berkenaan memaklumkan tidak mengingati kejadian tersebut, manakala ujian mendapati dia bebas pengaruh alkohol dan memiliki lesen memandu yang sah.