Skip to main content

Dunia

AS kenakan sekatan terhadap 35 individu, entiti berkaitan Iran

71760570011_TBScottBessent.jpg
Bessent bagaimanapun memberi amaran yang mana-mana institusi kewangan yang bekerjasama dengan rangkaian ini akan berdepan “akibat yang serius.” - Gambar fail

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap 35 individu dan entiti yang didakwa mempunyai kaitan dengan Iran sebagai sebahagian kempen “tekanan maksimum” berterusan terhadap Republik Islam itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Jabatan Perbendaharaan AS menyatakan bahawa langkah itu menyasarkan apa yang disifatkannya sebagai “sistem perbankan bayangan” Iran, yang didakwa memudahkan pemindahan berpuluh bilion dolar untuk mengelakkan sekatan.

Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah Perbendaharaan berkata rangkaian ini membolehkan institusi ketenteraan Iran mengakses sistem kewangan antarabangsa dan berperanan dalam penjualan minyak, perolehan komponen sensitif, serta pemindahan dana kepada apa yang disifatkannya sebagai proksi Iran.

Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent berkata yang “sistem perbankan bayangan Iran berfungsi sebagai talian hayat kewangan yang kritikal bagi angkatan tenteranya,” ketika Rumah Putih pada masa sama memberi isyarat minat untuk berunding dengan Iran. 

Bessent, bagaimanapun memberi amaran yang mana-mana institusi kewangan yang bekerjasama dengan rangkaian ini akan berdepan “akibat yang serius.”

Pusingan sekatan terbaharu ini mencerminkan pendekatan dasar yang menurut penganalisis bercanggah dengan kenyataan berkala AS mengenai usaha untuk berdialog dan mencapai perjanjian dengan Iran.

Percanggahan ini dilihat semakin ketara apabila sekatan dipertingkatkan seiring dengan seruan untuk rundingan.

Penganalisis berpendapat pendekatan dua hala seperti ini bukan sahaja gagal mengurangkan ketegangan, malah meningkatkan ketidakpercayaan, sekali gus menjejaskan prospek untuk sebarang rundingan yang bermakna.

-- BERNAMA-IRNA

 

Must Watch Video