Skip to main content

Dunia

Kekangan dana paksa WCK kurangkan bantuan makanan Gaza

71756644266_PalestiniansGaza.jpg
Walaupun tahap krisis kemanusiaan di wilayah itu dilaporkan sedikit reda, penduduk Palestin masih berdepan kesukaran akibat gangguan bekalan, termasuk kekurangan makanan asas dan peralatan perubatan. -Gambar fail

GAZA: Pertubuhan bantuan kemanusiaan global, World Central Kitchen (WCK), merancang mengurangkan skala operasi pengagihan makanan di Semenanjung Gaza secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang susulan tekanan kewangan yang semakin meningkat, lapor Al Jazeera.

Dalam kenyataan dikeluarkan, WCK menjelaskan keputusan untuk kembali kepada tahap pengagihan sebelum fasa gencatan senjata itu didorong oleh kekangan dana, dan bukan kerana keperluan bantuan makanan yang semakin berkurang.

Menurut pertubuhan berkenaan, lebih AS$500 juta (kira-kira RM1.98 bilion) telah dibelanjakan bagi menyediakan makanan kepada penduduk Gaza sejak konflik tercetus pada 2023.

Peruntukan itu termasuk memperluas operasi sehingga mampu mengagihkan sehingga satu juta hidangan panas setiap hari bagi menangani krisis bekalan makanan susulan sekatan ketat di wilayah berkenaan.

WCK turut memberi amaran bahawa tanggungjawab jangka panjang untuk membekalkan makanan kepada jutaan penduduk Gaza tidak seharusnya dipikul oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan sahaja.

Menurutnya, keupayaan untuk mengekalkan kapasiti operasi pada skala besar adalah terhad tanpa sokongan kewangan luar yang mampan.

Walaupun tahap krisis kemanusiaan di wilayah itu dilaporkan sedikit reda, penduduk Palestin masih berdepan kesukaran akibat gangguan bekalan, termasuk kekurangan makanan asas dan peralatan perubatan.

Must Watch Video

Advertisement