ANKARA: Sebuah kapal persiaran yang dilanda wabak hantavirus tiba di perairan berhampiran Pulau Tenerife, Sepanyol dengan penumpang dan anak kapal dijadual turun dari kapal untuk pulang ke negara masing-masing, menurut laporan media awal Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).
MV Hondius yang membawa 150 penumpang dan anak kapal dari 23 negara tiba di perairan berhampiran Pelabuhan Granadilla kira-kira 5.30 pagi waktu tempatan (0430 GMT) pada Ahad, dengan pihak berkuasa sedang membuat persiapan bagi operasi perubatan dan pemindahan berskala besar, menurut Agensi Berita EFE.
Pegawai kesihatan berkata enam penumpang disahkan dijangkiti hantavirus manakala dua lagi merupakan kes disyaki, dengan tiga kematian dilaporkan termasuk dua di atas kapal.
Semua penumpang yang ketika ini tidak menunjukkan sebarang gejala akan dipindahkan dalam kumpulan kecil menggunakan bot ke pantai untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing.
“Mereka akan dinilai terlebih dahulu… diperiksa sama ada bergejala atau tidak,” kata pegawai, sambil menambah bahawa soal selidik epidemiologi turut akan dijalankan.
Pihak berkuasa berkata kapal itu akan terus berlabuh di luar pesisir dengan penumpang dipindahkan dalam kumpulan lima orang sebelum dibawa menaiki bas ke lapangan terbang yang terletak hampir 9.65 kilometer dari lokasi itu.
Rakyat Sepanyol dijangka menjadi antara kumpulan pertama dipindahkan, dengan sebahagian daripada mereka dibawa ke hospital tentera di Madrid untuk kuarantin antara satu hingga dua minggu bergantung kepada penilaian kesihatan.
Seramai 17 penumpang Amerika Syarikat (AS) akan diterbangkan pulang ke AS dan dipantau di unit kuarantin khas di Nebraska.
-- BERNAMA-ANADOLU