Skip to main content

Dunia

AS jangka tamat operasi ketenteraan di Iran dalam tempoh beberapa minggu - Rubio

U.S. Secretary of State Marco Rubio speaks during a joint press conference with Slovakia's Prime Minister Robert Fico (not pictured), in Bratislava, Slovakia, Sunday, Feb. 15, 2026. Alex Brandon/Pool via REUTERS
Rubio berkata AS masih menunggu penjelasan lanjut mengenai siapa yang mewakili Iran, isu yang perlu dibincangkan dan bila rundingan boleh dimulakan. - Gambar/ Reuters

WASHINGTON menjangka menamatkan operasi ketenteraannya di Iran “dalam beberapa minggu akan datang”, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.

Beliau menyatakan objektif kempen itu mengikut perancangan, selepas menghadiri mesyuarat Menteri Luar G7 di Perancis, lapor BBC.

Rubio turut merujuk kenyataan Presiden Donald Trump bahawa Iran mahukan rundingan damai - sesuatu yang dinafikan oleh Tehran - sambil menjelaskan terdapat pertukaran mesej namun masih tidak jelas siapa yang mewakili Iran ketika ini. 

Beberapa pemimpin tertinggi republik itu telah terbunuh sejak AS dan Israel melancarkan perang pada 28 Februari.

Menurut Rubio, AS kini menghantar lebih banyak tentera ke rantau berkenaan bagi memberikan “pilihan tambahan” kepada presiden. 

Trump dan pegawai kanan beliau sebelum ini menjangka operasi di Iran akan berlangsung antara empat hingga tujuh minggu, dan kenyataan Rubio bahawa perang akan tamat “dalam minggu, bukan bulan” selari dengan tempoh tersebut.

Media Israel sebelum ini melaporkan bahawa Trump telah menyampaikan pelan 15 perkara kepada Iran melalui Pakistan bagi menamatkan perang, namun Rumah Putih tidak mengesahkan kandungannya. 

Rubio berkata AS masih menunggu penjelasan lanjut mengenai siapa yang mewakili Iran, isu yang perlu dibincangkan dan bila rundingan boleh dimulakan.

Trump turut mengesahkan beliau menangguhkan serangan ke atas loji tenaga Iran untuk memberi ruang kepada rundingan. 

Namun pada Jumaat, Iran menuduh Israel menyerang beberapa kemudahan nuklear serta dua kilang keluli terbesar negara itu. Menteri Luar Abbas Araghchi memberi amaran bahawa Israel akan “membayar harga yang berat”.

Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pula mengumumkan akan membalas dengan menyasarkan infrastruktur industri yang mempunyai kaitan dengan AS atau Israel.

Ketegangan meningkat apabila Iran menutup Selat Hormuz dan mengenakan bayaran terhadap kapal yang mahu laluan selamat, menurut laporan yang dipetik Rubio.

Selat Hormuz merupakan laluan penting yang menampung kira-kira 20 peratus minyak dan gas asli cecair dunia. 

Penutupannya menyebabkan harga minyak melonjak dan menimbulkan kebimbangan bahawa sekatan berpanjangan boleh menjejaskan ekonomi global. 

Sebahagian besar negara G7 - yang juga anggota NATO kecuali Jepun - enggan memenuhi permintaan Trump untuk menghantar kapal perang mengiringi kapal dagang.

Selepas mesyuarat G7 di Perancis, Rubio berkata United Kingdom kini mengetuai usaha membentuk pakatan antarabangsa bagi memastikan Selat Hormuz kekal dibuka selepas perang tamat. 

Beliau turut mengingatkan bahawa sekiranya ancaman Iran menjadi kenyataan, negara-negara sekutu AS akan lebih terjejas berbanding Washington.

Dalam kenyataan bersama, G7 menggesa “penghentian segera serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam”, serta menegaskan tiada justifikasi bagi serangan terhadap fasiliti diplomatik. 

 

 

Must Watch Video