Skip to main content

Dunia

Isyarat awal “Super El Nino” timbul risiko cuaca melampau global

Commuters ride in an overcrowded bus along a flooded street following torrential rain in Karachi, Pakistan, April 2, 2026. REUTERS/Qaiser Khan
Penumpang menaiki sebuah bas yang sesak meredah jalan yang dinaiki air berikutan hujan lebat di Karachi, Pakistan. - Foto REUTERS

LOS ANGELES: Laporan baharu mengenai tinjauan bermusim daripada Pusat Ramalan Iklim Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat (AS) dan Pusat Ramalan Cuaca Julat Sederhana Eropah mengesan isyarat pemanasan penting yang, jika bertambah kuat, boleh memberi impak besar kepada Selatan California dan seluruh dunia, lapor Xinhua.

Pakar kaji cuaca menyatakan peningkatan haba lautan di sepanjang khatulistiwa ketika ini boleh menjadi petanda kepada fenomena El Nino yang luar biasa kuat pada lewat tahun ini. 

Agensi AS itu menyebut corak iklim itu boleh meningkatkan kemungkinan cuaca lebih lembap dan beribut di Selatan California serta bahagian lain di wilayah Barat, selain mencetuskan kesan berangkai yang boleh menjejaskan musim taufan Lautan Atlantik dan sistem cuaca sejauh sehingga Asia Tenggara.

Agensi berkenaan mentakrifkan El Nino dan La Nina sebagai fasa bertentangan bagi Ayunan Selatan El Nino, atau ENSO. El Nino cenderung mengalihkan laluan ribut musim sejuk ke selatan, meningkatkan peluang keadaan lebih lembap daripada biasa di Selatan California, manakala La Nina sering menolak ribut ke utara, meningkatkan kemungkinan tempoh kering yang lebih lama.

Bagi penduduk Selatan California, kebimbangan terbesar bukanlah hujan sehari, tetapi ribut berintensiti tinggi berulang kali yang dibawa oleh El Nino, yang boleh melimpahi sistem saliran dan menyebabkan cerun gersang menjadi tepu air.

Suruhanjaya Pantai California memberi amaran yang kesan kebakaran hutan dan rupa bumi yang kering serta curam boleh runtuh dengan cepat, mengakibatkan lumpur, batu dan tumbuh-tumbuhan menggelongsor ke arah komuniti di bawahnya, manakala ribut kencang di laut dalam boleh mendorong ombak berbahaya serta menyebabkan hakisan pantai dan tebing.

Dalam peristiwa El Nino yang lepas, hujan berselang-seli antara ribut lebat dan tempoh kering yang panjang, satu ayunan yang juga boleh merumitkan perancangan mengekang kebakaran hutan.

Apabila El Nino melonjak ke kategori paling kuat, "ia pada dasarnya adalah peringkat tertinggi dalam peristiwa El Nino," kata Jonathan O'Brien, pakar meteorologi di Perkhidmatan Hutan AS, kepada Los Angeles Times.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), bagi Selatan California, peristiwa El Nino yang kuat meningkatkan paras laut dan kerpasan melampau, yang membawa kepada banjir kilat di pesisir pantai serta risiko banjir di kawasan pedalaman sepanjang pantai California.

Tinjauan Geologi California juga memberi amaran bahawa musim sejuk El Nino boleh mengakibatkan taburan hujan melebihi paras normal di Selatan California, membawa kepada peningkatan kejadian gelinciran lumpur, tanah runtuh yang menyekat jalan dan aliran puing yang membawa bencana susulan hujan lebat El Nino.

Di luar California, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menyatakan El Nino memberi impak ketara kepada sistem cuaca di seluruh dunia apabila perairan Pasifik yang lebih panas membebaskan haba ke atmosfera, mengalihkan arus jet dan laluan ribut, mengubah peredaran atmosfera di barat Pasifik, melemahkan Peredaran Walker, serta mengalihkan corak perolakan yang boleh mempengaruhi sistem monsun Asia Timur dan Asia Tenggara.

Dengan berbaki beberapa bulan sebelum musim sejuk, atas faktor keselamatan, pegawai awam menggesa penduduk Selatan California untuk bersiap sedia menghadapi cuaca ribut dengan menyemak semula pelan pemindahan bagi kawasan di bawah bekas kebakaran hutan, menyediakan beg pasir dan bekalan kecemasan, serta membersihkan longkang.

Pakar kaji cuaca akan terus menjejaki suhu dan angin Pasifik untuk tanda El Nino semakin menguat, dan sama ada ia akan mencapai tahap “super” yang jarang berlaku yang boleh memburukkan lagi keadaan cuaca melampau.

--BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video