WASHINGTON: Pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat (AS) berkata pada Jumaat bahawa mereka akan mula menerima permohonan daripada pengimport yang menuntut bayaran balik tarif selepas Mahkamah Agung AS membatalkan duti global menyeluruh Presiden Donald Trump pada Februari, lapor Agensi Berita Kyodo.
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS berkata proses bayaran balik itu pada peringkat awal hanya akan melibatkan kemasukan tertentu yang belum dimuktamadkan atau yang telah dimuktamadkan dalam tempoh 80 hari lalu.
Biasanya, perniagaan membayar anggaran tarif semasa import, dan pihak kastam akan menentukan jumlah akhir kemudian.
Susulan keputusan mahkamah tertinggi itu, seorang hakim mahkamah perdagangan AS mengarahkan pentadbiran Trump memulakan proses bayaran balik kepada pengimport bagi ratusan bilion dolar yang dikutip melalui tarif dua digit di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA).
Pada 20 Feb, mahkamah tertinggi itu membatalkan apa yang dipanggil “tarif timbal balas” Trump, serta levi berkaitan fentanyl terhadap barangan dari China, Kanada dan Mexico.
Mahkamah itu memutuskan bahawa Trump telah melampaui kuasa presiden apabila menggunakan undang-undang kecemasan era 1970-an, iaitu IEEPA, untuk mengenakan tarif tersebut.
-- BERNAMA-KYODO