Skip to main content

Dunia

Israel arah penduduk kampung di selatan Lubnan tinggalkan rumah

Lebanon Israel
Asap membumbung akibat serangan udara Israel di kawasan Dahiyeh, iaitu selatan pinggir bandar Beirut. - Foto AP

BEIRUT: Tentera Israel telah mengeluarkan arahan mendesak kepada penduduk di puluhan kampung di selatan Lubnan, termasuk bandar Bint Jbeil, supaya mengosongkan rumah serta menjauhi bangunan sejauh sekurangkurangnya 1 kilometer (km).

Arahan tersebut dilaporkan oleh liputan langsung Al Jazeera.

Peringatan meliputi kawasan yang luas ini menimbulkan kebimbangan kerana ia menyerupai arahan perpindahan besar-besaran yang dikeluarkan Israel ketika perang di Gaza, yang menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

Amaran pemindahan itu dikeluarkan ketika wartawan melaporkan bahawa serangan udara Israel turut mengenai bandar Haris, Nabatieh alFawqa dan Mefdoun, semuanya terletak di wilayah selatan Lubnan.

Serangan tersebut berlaku selang beberapa minit selepas tentera Israel mengumumkan operasi ketenteraan baharu terhadap Hezbollah di seluruh Lubnan.

Tentera Israel berkata pihaknya sedang “menyerang Hezbollah dengan agresif” dan mendakwa ia turut menyasarkan individu kanan dalam organisasi itu di Beirut dan wilayah selatan Lubnan.

Arah­an pemindahan itu dikeluarkan selepas Hezbollah melancarkan serangan roket dan dron ke atas kawasan utara Israel.

Insiden tersebut mencetuskan peningkatan drastik dalam operasi ketenteraan Israel yang sebelum ini sudah pun melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas sasaran di Lubnan sejak gencatan senjata 2024 mula rapuh.

Dalam konteks lebih luas, konflik antara Israel dan sekutu Iran, termasuk Hezbollah, telah memasuki fasa lebih tegang sejak kematian Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan ASIsrael.

Hezbollah menyifatkan tindakan mereka sebagai “pembalasan” dan “hak mempertahankan Lubnan daripada pencerobohan”.

Perintah terbaru Israel dijangka mempercepatkan lagi aliran keluar penduduk, dengan potensi mewujudkan krisis kemanusiaan baharu.

Lubnan, yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk dalam sejarahnya, mungkin sukar menampung perpindahan penduduk dalam jumlah besar.

Kerajaan Lubnan sebelum ini mengeluarkan dekri untuk melucutkan senjata Hezbollah, namun kumpulan itu menolak arahan tersebut dengan alasan bahawa senjata mereka diperlukan untuk mempertahankan negara daripada ancaman Israel.

 

 

 

Must Watch Video