Skip to main content

Dunia

IRGC keluar amaran akan hentikan secara paksa kapal langgar peraturan transit di Hormuz

FILE PHOTO: Cargo ships in the Gulf, near the Strait of Hormuz, as seen from northern Ras al-Khaimah, near the border with Oman’s Musandam governance, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in United Arab Emirates, March 11, 2026. REUTERS/Stringer/File Photo/File Photo
Sebarang aktiviti maritim yang tidak mematuhi prinsip yang diumumkan oleh Tentera Laut IRGC akan berhadapan dengan risiko serius, kata jurucakap IRGC. - Gambar fail/Reuters

ISTANBUL: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Isnin memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melanggar protokol transit yang ditetapkan oleh Tehran di Selat Hormuz "akan dihentikan secara paksa."

"Sebarang aktiviti maritim yang tidak mematuhi prinsip yang diumumkan oleh Tentera Laut IRGC akan berhadapan dengan risiko serius, manakala kapal yang melanggar peraturan akan dihentikan secara paksa," kata jurucakap IRGC Sardar Mohebbi dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita separa rasmi Fars, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Mohebbi, "tiada perubahan" dalam pengurusan laluan air berkenaan setakat ini.

"Sebarang pergerakan kapal awam dan komersial yang mematuhi protokol transit yang dikeluarkan oleh Tentera Laut IRGC serta mengikut laluan yang ditetapkan dengan penyelarasan akan berada dalam keadaan selamat dan terjamin," katanya.

Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindak balas daripada Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.

Sejak 13 April, AS telah menguatkuasakan sekatan tentera laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan strategik berkenaan.

Gencatan senjata selama dua minggu telah diumumkan pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, diikuti dengan rundingan terus di Islamabad pada 11 April, namun tiada persetujuan dicapai mengenai gencatan senjata yang berterusan.

Presiden AS Donald Trump kemudiannya melanjutkan tempoh gencatan senjata tanpa menetapkan tarikh akhir baharu susulan permintaan daripada pihak Pakistan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video