Skip to main content

Dunia

Iran kata "sebahagian besar" rundingan dengan AS selesai, namun enggan terburu-buru

Head of Center for Public Diplomacy and Spokesperson  Ministry of Foreign Affairs, Islamic Republic of Iran  -- X Esmaeil Baqaei
Baqaei berkata perkembangan yang dilaporkan sejak beberapa hari kebelakangan ini adalah hasil rundingan selama beberapa minggu yang dikendalikan melalui pengantaraan Pakistan. - Gambar fail

ISTANBUL: Iran dan Amerika Syarikat (AS) telah mencapai kesepakatan berhubung "sebahagian besar" isu yang dibincangkan, namun ia tidak bermakna satu perjanjian akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik laporan IRNA.

"Adalah tepat untuk menyatakan bahawa kami telah mencapai kesimpulan berhubung sebahagian besar isu yang dibincangkan," kata Baqaei kepada pemberita, menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA.

"Bagaimanapun, tiada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa ini bermakna perjanjian akan ditandatangani dalam masa terdekat," katanya.

Baqaei berkata perkembangan yang dilaporkan sejak beberapa hari kebelakangan ini adalah hasil rundingan selama beberapa minggu yang dikendalikan melalui pengantaraan Pakistan, sambil menambah bahawa negara-negara lain turut melakukan usaha penting sepanjang proses berkenaan.

Mengulas mengenai Selat Hormuz, Baqaei berkata tanggungjawab menguruskan laluan air strategik itu terletak di tangan negara pesisir pantai.

Beliau berkata Tehran sentiasa berhubung dengan negara yang bersempadan dengan Selat Hormuz dalam usaha mengekalkan keselamatan dan melindungi kepentingan mereka.

Kenyataan beliau menyusul selepas kenyataan Presiden AS Donald Trump pada Sabtu yang memaklumkan bahawa perjanjian dengan Iran untuk menamatkan konflik telah "sebahagian besarnya dirundingkan" dan kini hanya menanti untuk dimuktamadkan.

Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari. Tehran bertindak balas dengan serangan menyasarkan Israel serta sekutu AS di Teluk, selain bertindak menutup Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April lalu menerusi pengantaraan Pakistan dan kemudiannya dilanjutkan oleh Trump untuk tempoh yang tidak dinyatakan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement