KUALA LUMPUR: Iran mengulangi komitmennya untuk menjamin keselamatan maritim bagi kapal-kapal dari negara "bukan musuh" yang melalui Selat Hormuz, selain akan terlibat secara aktif dengan negara-negara sahabat bagi memudahkan laluan selamat mereka.
Kedutaan Iran di Malaysia menyatakan bahawa Tehran mengakui kesan global yang lebih luas terhadap gangguan bekalan tenaga dan ketegangan keselamatan di selat itu susulan serangan tentera Amerika Syarikat (AS)-Israel yang berterusan ke atas Iran sejak 28 Feb.
Negara-negara, terutamanya di Asia Tenggara, sudah mula merasai kesan kenaikan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan yang dicetuskan oleh ancaman terhadap laluan penting itu, menurut kedutaan dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Potensi ketidakstabilan jangka panjang itu menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan ekonomi dan kebolehpercayaan tenaga di wilayah berkenaan.
Kenyataan itu turut memetik perbualan telefon baru-baru ini antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian sebagai sebahagian daripada penglibatan diplomatik bagi membincangkan usaha kolaboratif untuk meredakan krisis tenaga yang diburukkan lagi oleh konflik yang sedang berlaku.
"Dialog diplomatik sedemikian menekankan komitmen Iran untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan dalam perdagangan maritim," menurut kenyataan itu.
"Kami menegaskan bahawa kapal-kapal bukan musuh, terutamanya dari negara yang tidak menyokong pencerobohan tentera terhadap kami, boleh mengemudi perairan ini dengan selamat, tertakluk kepada pematuhan peraturan Iran dan penyelarasan dengan pihak berkuasa kami," menurut tambah kedutaan itu lagi.
Iran turut memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan darat oleh AS ke atas pulau-pulau milik Iran akan mewujudkan ketidaktentuan keselamatan serantau yang lebih parah, sekali gus mengganggu pasaran tenaga global.
Menurut kenyataan itu, penilaian terbaharu menunjukkan peralihan objektif AS yang kini menumpukan untuk mendapatkan akses ke Selat Hormuz.
"Sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab dan berdedikasi kepada prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Iran mengiktiraf kepentingan keselamatan maritim," katanya.
Selat Hormuz merupakan titik tumpuan maritim yang penting di mana satu perlima daripada minyak dunia dan sebahagian besar gas asli cecair (LNG) melaluinya. Laluan itu terjejas secara berkesan sejak awal Mac disebabkan konfrontasi ketenteraan yang melibatkan AS-Israel dan Iran.
Ketegangan telah memuncak menjadi konflik serantau yang lebih luas selepas Tehran menyerang sasaran Israel serta pangkalan dan aset AS di negara-negara Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan tentera AS-Israel yang berterusan ke atas wilayah Iran sejak 28 Feb.
-- BERNAMA