Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Pusat penyelidikan kesihatan Iran diserang, Tehran gesa campur tangan WHO

The aggression against Pasteur Institute of Iran—a century-old pillar of global health & member of International Pasteur Network—is a direct assault on international health security.  -- X @HKermanpour
Imej dimuat naik menunjukkan kerosakan teruk pada struktur bangunan, dengan sebahagian fasiliti institut berkenaan runtuh akibat serangan tersebut. -Foto X

TEHRAN: Jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Hossein Kermanpour mengesahkan satu serangan udara telah menyasarkan Institut Pasteur Iran, sebuah pusat penyelidikan perubatan bersejarah yang diasaskan pada 1920.

Menerusi hantaran di platform X, Hossein Kermanpour menyifatkan serangan ke atas institusi yang disifatkannya sebagai tonggak kesihatan global selama lebih satu abad itu sebagai satu tindakan yang amat serius.

 

 

“Pencerobohan terhadap Institut Pasteur Iran — tonggak kesihatan global selama seabad dan ahli Rangkaian Pasteur Antarabangsa — merupakan serangan langsung terhadap keselamatan kesihatan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut memuat naik beberapa keping imej yang didakwa menunjukkan kerosakan teruk pada struktur bangunan, dengan sebahagian fasiliti institut berkenaan runtuh akibat serangan tersebut.

Menurut Hossein Kermanpour, tindakan itu jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.

“Ini melanggar Konvensyen Geneva dan prinsip Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL).

"Kami menyeru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) serta badan kesihatan global lain untuk mengutuk serangan ini, menilai tahap kerosakan dan menyokong usaha pembinaan semula,” tambahnya.

Institut Pasteur Iran selama ini memainkan peranan penting dalam penyelidikan penyakit berjangkit dan pembangunan vaksin di Asia Barat.

Pemusnahan fasiliti berkenaan dibimbangi menjejaskan kapasiti tindak balas kesihatan awam serta ketersediaan ubat-ubatan khusus di negara itu.

Serangan tersebut berlaku di tengah-tengah siri bedilan udara yang menurut pihak Iran didakwa dilancarkan oleh tentera Amerika Syarikat dan Israel terhadap beberapa fasiliti farmaseutikal serta perubatan yang dianggap kritikal sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Must Watch Video