Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran dakwa Israel-AS serang fasiliti ubat kanser utama di Tehran

Tofigh Daru Research & Engineering Company
Javad Zarif dalam kenyataannya di akaun X menyifatkan tindakan itu sebagai serangan terdesak selepas pihak lawan gagal mencapai objektif mereka. -Foto X

TEHRAN: Sebuah fasiliti pengeluaran ubatan kanser di Iran didakwa musnah dalam serangan udara Israel dan Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Bekas Menteri Luar Iran yang juga pengasas Institut Penyelidikan Payab, Javad Zarif, berkata serangan itu menyasarkan Tofigh Daru Research & Engineering Company, antara syarikat farmaseutikal terbesar negara tersebut yang mengeluarkan ubat kanser, ubat bius dan pelbagai ubat kepakaran lain.

Javad Zarif dalam kenyataannya di akaun X menyifatkan tindakan itu sebagai serangan terdesak selepas pihak lawan gagal mencapai objektif mereka.

 

 

Menurut laporan agensi berita rasmi IRNA, serangan tersebut berlaku selepas lebih sebulan rentetan serangan yang digambarkan Javad Zarif sebagai jenayah perang.

Beliau menegaskan bahawa menyasarkan pengeluar ubat kritikal bagi pesakit kanser merupakan tindakan yang melampau dan tidak berperikemanusiaan.

Serangan ini berlaku ketika konflik di Asia Barat semakin memuncak sejak lebih sebulan lalu, dengan Iran menuduh Israel dan AS meningkatkan serangan terhadap infrastruktur awam serta kemudahan perubatan.

Setakat ini, pihak tentera Israel mahupun Washington belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan serangan ke atas fasiliti farmaseutikal berkenaan.

Iran kini sedang menilai tahap kerosakan dan kesannya terhadap bekalan ubat-ubatan kritikal dalam pasaran domestik.

 

Must Watch Video