KUALA LUMPUR: MBSB Research menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2026 kepada 4.2 peratus, berbanding jangkaan awal 4.6 peratus, dengan mengambil kira kesan tekanan inflasi yang lebih tinggi terhadap perbelanjaan domestik.
Pakar Ekonomi MBSB Research, Abdul Mui’zz Morhalim berkata, semakan turun itu bukan mencerminkan kemerosotan ekonomi, sebaliknya pertumbuhan yang dijangka berlaku pada kadar yang lebih perlahan, khususnya melibatkan perbelanjaan swasta.
“Kami tidak menjangka berlaku penurunan mendadak, cuma pertumbuhan yang sedikit lebih perlahan. Perbelanjaan swasta dijangka berkembang sekitar 4.8 peratus berbanding anggaran awal 5.6 peratus,” katanya.
Pada masa sama, MBSB Research menaikkan unjuran inflasi negara bagi tahun ini kepada 2.2 peratus daripada 1.8 peratus sebelum ini, walaupun kerajaan mengekalkan harga petrol bersubsidi pada RM1.99 seliter.
Menurut Abdul Mui’zz, peningkatan kos pengeluaran kekal menjadi faktor utama yang berpotensi memberi tekanan kepada harga barangan dan perkhidmatan.
“Walaupun subsidi bahan api masih dikekalkan, tekanan daripada kos pengeluaran yang meningkat boleh menyebabkan kesan limpahan harga dalam ekonomi,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan MBSB Research tidak mengambil kira kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi, dengan mengambil kira usaha berterusan kerajaan dalam menstabilkan sektor tenaga serta kekuatan asas ekonomi domestik.
“Kami masih melihat fundamental ekonomi Malaysia kekal kukuh, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan,” katanya.
Mengulas perkembangan global, Abdul Mui’zz berkata tekanan inflasi yang berterusan telah mengubah jangkaan pasaran, khususnya berkaitan hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat.
“Sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) beberapa minggu lalu, terdapat jangkaan bahawa Fed akan melaksanakan sekurang-kurangnya satu lagi pemotongan kadar faedah tahun ini,” katanya.
Namun, katanya, konflik yang berterusan di Asia Barat serta kebimbangan terhadap inflasi global telah mencetuskan perubahan jangkaan, dengan pasaran kini menjangkakan bank pusat mungkin kembali mempertimbangkan kenaikan kadar faedah.
Walaupun begitu, beliau berpandangan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), memandangkan sebarang kenaikan berisiko memberi tekanan kepada rakyat dan peniaga, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat.
Perkembangan ini turut memberi kesan kepada nilai ringgit, yang dilihat kembali melemah ke paras sekitar RM4.00 berbanding dolar AS, selepas mencecah bawah RM3.90 pada penghujung Februari lalu.
Jika ketidaktentuan global berterusan, ringgit dijangka kekal stabil pada paras semasa, namun MBSB Research optimis mata wang tempatan berpotensi mengukuh semula.