KUALA LUMPUR: Iran mendakwa Israel berada di sebalik insiden serangan dron yang menyasarkan wilayah Nakhchivan di Azerbaijan, sekali gus menafikan sebarang penglibatan Tehran dalam kejadian tersebut.
Menteri Luar Abbas Araghchi dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya di Azerbaijan menegaskan bahawa Iran tidak melancarkan sebarang serangan dron atau peluru ke arah negara itu menurut laporan Reuters.
Memetik agensi berita Tasnim News Agency, Araghchi berkata angkatan bersenjata Iran sedang menjalankan siasatan dan semakan lanjut berhubung dakwaan berkenaan.
Beliau turut mendakwa kemungkinan penglibatan Israel dalam serangan tersebut sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian umum serta menjejaskan hubungan baik antara Iran dan Azerbaijan.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Azerbaijan memaklumkan beberapa dron yang didakwa dilepaskan dari Iran telah mengenai wilayah negara itu.
Menurut kementerian berkenaan, satu daripada dron tersebut telah menghentam bangunan terminal di Nakhchivan International Airport.
Manakala satu lagi dron dilaporkan mendarat berhampiran sebuah bangunan sekolah di kampung Shakarabad.