Skip to main content

Dunia

Mahkamah Rayuan AS tolak dasar penahanan imigran Trump

Sumber: FREEPIK
Keputusan sebulat suara panel tiga hakim itu, termasuk seorang hakim yang dilantik Presiden Donald Trump menjadi tamparan undang-undang terhadap agenda penguatkuasaan imigresen pentadbiran berkenaan. -Gambar hiasan

WASHINGTON: Mahkamah rayuan persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memutuskan bahawa pentadbiran Trump tidak boleh menahan imigran tanpa had masa tanpa memberi peluang kepada mereka menghadiri pendengaran ikat jamin, lapor Anadolu Ajansi.

Keputusan sebulat suara panel tiga hakim itu, termasuk seorang hakim yang dilantik Presiden Donald Trump menjadi tamparan undang-undang terhadap agenda penguatkuasaan imigresen pentadbiran berkenaan.

Panel itu mendapati tafsiran kerajaan terhadap kuasa penahanan akan membawa kesan meluas dan memudaratkan.

“Tafsiran kerajaan itu akan memberi kesan besar terhadap sistem penahanan imigresen dan masyarakat, membebankan infrastruktur penahanan yang sedia sesak, memenjarakan jutaan orang, memisahkan keluarga dan mengganggu kehidupan komuniti,” menurut panel itu.

Pusat tahanan imigresen yang dikendalikan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) semakin mendapat perhatian susulan laporan kesesakan dan keadaan yang semakin merosot.

Anggota Dewan Perwakilan AS Pramila Jayapal memuji keputusan itu, dengan menyifatkannya sebagai langkah penting dalam mempertahankan perlindungan perlembagaan.

Beliau turut memetik laporan mengenai keadaan tahanan yang semakin buruk, termasuk kekurangan makanan dan air, pengabaian rawatan perubatan serta kesesakan.

“Jumlah kematian meningkat mendadak akibat keadaan tidak berperikemanusiaan, dengan 47 kematian yang belum pernah berlaku sebelum ini direkodkan dalam tahanan ICE sejak Trump memegang jawatan pada Januari 2025,” kata beliau.

Jayapal berkata pentadbiran itu mengabaikan sepenuhnya klausa proses wajar dalam Perlembagaan AS ketika melaksanakan dasar penahanan besar-besaran berkenaan di seluruh negara.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video