Skip to main content

Advertisement

Dunia

Iran dakwa capai ‘prinsip panduan’ dengan AS dalam rundingan nuklear

Iran's Foreign Minister Abbas Araghchi addresses a special session of the Conference on Disarmament at the United Nations, aside of U.S.-Iran talks in Geneva, Switzerland, February 17, 2026. REUTERS/Pierre Albouy
Abbas Araghchi yang menghadiri rundingan tidak langsung di Geneva berkata, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi bagi menyelesaikan pertikaian mengenai program nuklear Tehran. - Gambar Reuters

GENEVA: Iran memaklumkan, pihaknya telah mencapai kata sepakat dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung beberapa “prinsip panduan utama” bagi menyelesaikan pertikaian mengenai program nuklear Tehran.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata demikian selepas menghadiri rundingan tidak langsung di Geneva, sambil menambah bahawa masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi. 

Pihak AS turut mengesahkan bahawa “kemajuan telah dicapai.”

Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi yang bertindak sebagai perantara, menyatakan bahawa rundingan itu “menunjukkan kemajuan positif” khususnya dalam mengenal pasti matlamat bersama serta isu teknikal yang berkaitan.

Rundingan tersebut berlangsung selepas ancaman ketenteraan berulang dari AS terhadap Iran berikutan tindakan keras Tehran terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan serta aktiviti nuklearnya. 

Presiden Donald Trump sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa Iran kini mahu mencapai persetujuan.

AS dan sekutunya di Eropah telah lama mengesyaki Iran bergerak ke arah membangunkan senjata nuklear — sesuatu yang dinafikan Tehran.

Tumpuan rundingan: Program nuklear dan sekatan ekonomi

Sebelum rundingan di kediaman Duta Oman di Geneva itu, Iran menyatakan fokus utama mereka melibatkan program nuklear dan potensi pembatalan sekatan ekonomi oleh AS.

Washington pula menegaskan bahawa ia mahu membincangkan isu lain termasuk pembangunan peluru berpandu Iran.

Tidak diketahui sepenuhnya skop perbincangan yang berlangsung, namun seorang pegawai AS memberitahu BBC bahawa: “Kemajuan telah dicapai, tetapi masih banyak butiran yang perlu dibincangkan. Pihak Iran bersetuju untuk kembali dalam dua minggu lagi dengan cadangan terperinci bagi menangani jurang antara pendirian kami.”

Dalam temu bual bersama Fox News, Naib Presiden AS JD Vance berkata: “Ada perkara yang berjalan baik, termasuk persetujuan untuk bertemu lagi. Tetapi jelas terdapat beberapa garis merah yang ditetapkan presiden, dan Iran masih belum bersedia untuk mengakuinya.”

Trump sebelum itu menyifatkan rundingan berkenaan sebagai “sangat penting”, dan menegaskan beliau terlibat secara tidak langsung, serta percaya Iran kini lebih terdorong untuk berunding.

“Saya tidak fikir mereka mahukan akibat jika persetujuan tidak dicapai,” katanya kepada wartawan di Air Force One, merujuk tindakan AS membedil tapak nuklear Iran tahun lalu.

“Kita boleh saja mencapai perjanjian, tetapi kita terpaksa menghantar pesawat B‑2 untuk menamatkan potensi nuklear mereka. Saya harap mereka lebih rasional kali ini.”

Ketegangan meningkat: AS kerah aset ketenteraan ke Asia Barat

Ketegangan meningkat apabila AS memperkukuh kehadiran ketenteraan di Asia Barat.

BBC mengesahkan kedudukan kapal induk USS Abraham Lincoln berdekatan Iran menerusi imejan satelit.

AS juga dilaporkan menghantar kapal induk gergasi USS Gerald R. Ford, yang dijangka tiba dalam tempoh tiga minggu.

Rundingan diteruskan, ketenteraan Iran tunjuk kekuatan

Araghchi sebelum itu bertemu Ketua Pengawas Nuklear PBB di Geneva dan berkata dalam satu kenyataan di X bahawa beliau hadir untuk mencapai “perjanjian yang adil dan saksama”.
Beliau menegaskan: “Apa yang tidak ada dalam rundingan ialah tunduk kepada ancaman.”

Sebagai tindak balas kepada kehadiran ketenteraan AS, Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) melancarkan latihan maritim di Selat Hormuz - laluan perairan strategik dan nadi eksport minyak negara-negara Teluk.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, pula menyatakan bahawa mencapai persetujuan dengan Tehran akan menjadi “amat sukar” walaupun peluang rundingan masih wujud.

Rundingan tidak langsung pertama antara Iran dan AS tahun ini berlangsung di Oman, yang digambarkan Araghchi sebagai “permulaan yang baik.” - Agensi

Must Watch Video